JOHOR BAHRU 19 Nov. – Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ) menggesa agar kertas siasatan sama ada di bawah Akta Hasutan mahupun Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dibuka segera ke atas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy kerana mengeluarkan kenyataan fitnah memburukkan negara.
Bendaharinya, T. Thuraisamy berkata, meskipun Waytha Moorthy mendakwa klip video kenyataannya yang tular dalam laman sosial baru-baru ini dibuat 10 tahun yang lalu, penjelasan tersebut tidak boleh diterima sama sekali kerana bakal menjadi barah yang sukar dirawat.
“Waytha telah memfitnah dengan mengatakan penganut Hindu dan masyarakat India di negara ini telah didiskriminasi. Ia juga memberi imej buruk kepada Malaysia dan menimbulkan suasana tegang dalam negara.
“Sebagai pemimpin tertinggi MBNJ yang menjadi badan induk belia di negeri ini dan mewakili kaum India, saya telah menyaksikan banyak manfaat yang diterima oleh kaum India sama ada daripada segi ekonomi, pendidikan dan sosial. Malah, melalui sistem yang sedia ada, orang India juga telah ramai menduduki jawatan tertinggi sebagai korporat, agensi kerajaan dan swasta,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.
Thuraisamy berkata, tindakan Waytha Moorthy yang telah menimbulkan suasana tidak selesa dalam kalangan seluruh rakyat bukan sesuatu yang wajar diteladani dan bekas Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) mesti secara sukarela meletak jawatan daripada kerajaan bagi membolehkan siasatan dapat dijalankan secara lebih telus. – UTUSAN ONLINE










