Pelaksanaan projek pembangunan yang lestari kini menjadi keutamaan kepada pemaju bagi membantu kerajaan mengurangkan kesan kepada alam sekitar.
Malah, terdapat pemaju kini semakin positif dengan usaha memupuk kelestarian alam sekitar dan ia sepatutnya di mulakan pada peringkat awal dan golongan muda.
Syarikat kontraktor pemaju perumahan Cypark Resources Berhad percaya perlunya melaksanakan program kelestarian dan percaya ia penting dalam memastikan pemegang taruh dalam industri mendapat faedah.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Daud Ahmad berkata, projek pembangunan lestari perlu bermula hari ini bagi mencorakkan masa depan negara khususnya menerusi penglibatan generasi muda bagi mencari jalan penyelesaian yang inovatif (dalam apa juga perancangan).
“Lagipun mereka (generasi muda) sering kali tidak terikat (dengan apa-apa kaedah) dan lebih kreatif,” ujarnya.
Justeru pihaknya percaya golongan tersebut sepatutnya mempunyai lebih kepakaran dan dengan penggunaan peranti pada masa ini, kerja- kerja pendigitalan juga mudah dilakukan.
Pada masa sama, pihaknya akan membangunkan perumahan yang lestari di Sunga Long, Kajang, Selangor yang tidak merosakkan alam sekitar di sekeling kawasan projek.
Projek seluas 3.44 hektar (8.6 ekar) melibatkan 518 unit rumah, tetapi mengekalkan aset alam sekitar berkeluasan 1.52 hektar (3.8 ekar) di sekitarnya terutama hutan, air terjun, sungai kecil dan tapak perkelahan dan kemudahan aktiviti rentas hutan.
Projek perumahan Nadi Aman tersebut dijangka dilancarkan pada tahun depan juga dilengkapi sistem pengumpulan air hujan (RWH).
“Saya ingin mengatakan lebih hijau akan menjadi murah dan ia dibuktikan dengan usaha-usaha arkitek Laras yang akan melaksanakan inisiatif hijau ini,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Laras Architects Sdn Bhd., Noridah Abd. Rahman berkata, pembangunan kini mesti mengambil kira kelestarian termasuklah antaranya menggunakan bahan-bahan binaan tempatan.
Beliau berkata, seni bina lestari atau sustainable architecture merupakan seni bina yang memberi impak minimum kepada alam sekitar.
Beliau juga menggariskan tujuh komponen utama pembangunan lestari iaitu yang pertama, tenaga boleh diperbaharui (RE) seperti penggunaan panel solar. Kedua, strategi pasif iaitu dengan penggunaan sistem pengudaraan dan pencahayaan semula jadi.
Komponen ketiga adalah penggunaan bahan yang lestari seperti bahan yang kurang pencemaran dan kitar semula serta bahan binaan yang tidak merosakkan alam sekitar, manakala komponen keempat adalah nilai ekologi yang diterapkan iaitu reka bentuk yang mengurangkan impak kepada ekologi.
“Komponen seterusnya adalah pengangkutan iaitu perlunya penggunaan kenderaan yang mengurangkan pencemaran serta menggalakkan kenderaan awam,” ujarnya.
Komponen kesihatan dan kesejahteraan juga penting iaitu apabila keseluruhan reka bentuk bangunan yang dibina mengutamakan keselesaan penghuninya. Komponen ketujuh pula katanya, adalah kos keseluruhan iaitu bangunan atau hartanah tersebut membantu mengurangkan kos sara hidup.
Menurut Noridah lagi, pemaju kini semakin sedar dan dengan adanya indeks bangunan dan pensijilan hijau yang diperkenal serta memperoleh penarafan perak, platinum dan emas bagi bangunan mereka, manakala orang ramai akan mendapat faedahnya.
“Orang ramai perlu diberi pendedahan (mengenai kepentingan pembinaan hijau) dan peranan ini boleh diambil oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Arkitek Malaysia dan kerajaan,” ujarnya.
Pulihara alam
Konsep pembangunan mesra alam ini patut dipraktikkan di negara ini sebab selain menjadi satu keunikan, ia juga bermanfaat membantu pemiliharaan alam sekitar.
Menurut pelajar Fakulti Kejuruteraan Alam Bina Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Nurul Ayni Mat Pauzi pada masa ini, sudah banyak konsep pembangunan tersebut dimulakan di negara ini antaranya pembinaan taman mini di atas bangunan.
“Contoh mudah yang diamalkan oleh Cypark dan Laras Architech ini yang menarik sebab pemaju mendirikan bangunan dengan memelihara alam sekitar dekat kawasan pembinaan dan memanfaatkan sungai dan air terjun di kawasan tersebut sebagai satu tarikan,” ujarnya.
Beliau melihat, konsep memulihara pokok di kawasan perumahan yang boleh membekalkan oksigen dan mengurangkan karbon dioksida, sekali gus meminimumkan kesan terhadap alam sekitar.
Bagi pelajar di fakulti yang sama, Toh Lai Fun, teknologi pembinaan boleh mengambil kira beberapa aspek antaranya berdasarkan identiti kebangsaan Malaysia.
“Kita juga perlu mengambil kira berdasarkan objektif smart living community’ dan berteknologi dan mementingkan alam semua jadi,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, pembangunan lestari boleh dicapai berdasarkan pengalaman ruang dalaman dan luaran bangunan mahupun landskap buatan manusia yang mewujudkan persekitaran yang harmoni.
“Kaedah yang sesuai adalah mencapai thermal comfort’ sesuatu ruang boleh dijadikan panduan,” ujarnya.










