KUALA LUMPUR 30 Nov. – Kombinasi ciri-ciri pintar dan binaan tahan lasak pada model Instinct meletakkan varian terbaharu jam tangan Garmin dalam kelas tersendiri.
Bukan sahaja dipakej dengan fungsi-fungsi terbaik daripada model terdahulu, bonus terbesar bagi yang memiliki jam tangan ini adalah piawaian ketenteraan Amerika Syarikat dari segi ketahanan haba, getaran dan kalis air.
Garmin Instinct dibina daripada gentian polimer yang diperkukuh untuk tahan dalam suhu ekstrem sehingga 60 darjah Celsius dan kemampuan operasi dalam suhu di bawah paras beku sehingga – 20 darjah Celsius.
Kualiti gred ketenteraan menjadikannya pilihan terbaharu dalam pasukan kecemasan, pasukan pemadam api dan yang bekerja dalam persekitaran maritim dan lasak.
Penyediaan maklumat pada pergelangan tangan pula membolehkan pemakai mengakses dengan mudah setiap fungsi kecergasan seperti bilangan langkah, pembakaran kalori, jarak aktiviti, pendakian anak tangga, bacaan suhu, dan ujian tahap tekanan (stres).
Selain kemampuan merekod pelbagai jenis aktiviti, fungsi peranti ini semestinya tidak lengkap tanpa pemantauan aktiviti kardiovaskular melalui fungsi pengesanan kadar degupan jantung (HRM) secara optikal.
Garmin Instinct dibina ringan untuk menepati keperluan aktiviti lasak dan sukan seperti renang, larian, berbasikal dan banyak lagi.
Bagi pengemar aktiviti pergunungan, gajet ini dilengkapi fungsi pengesanan seperti kompas tiga paksi (3 axis), altimeter, barometer, suhu, cuaca serta maklumat matahari terbit dan terbenam.
Diperkasa dengan sistem navigasi terkini, pengguna boleh menggunakan aplikasi Explore Garmin untuk merancang perjalanan dan menggunakan laluan asal ke titik permulaan melalui fungsi TracBack®.
Jam tangan pintar ini dilengkapi semua fungsi penerimaan notifikasi seperti mesej, emel dan media sosial apabila dihubungkan dengan telefon pintar.
Garmin Instinct yang didatangkan dalam tiga pilihan warna iaitu merah, putih dan hitam boleh didapati daripada wakil jualan pada harga RM1,499. – UTUSAN ONLINE










