Freddie Mercury dalam diri Rami Malek - Utusan Malaysia

Freddie Mercury dalam diri Rami Malek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARANGKALI bagi peminat muzik Barat, nama Queen masih segar dalam ingatan. Alasannya mudah, sekitar hampir lima dekad lalu, Queen adalah band rock paling popular pada zamannya.

Ditunjangi oleh pemilik nama Freddie Mercury selaku vokalis dan pemain piano, diikuti tiga lagi anggotanya iaitu Brian May (gitar utama), Roger Taylor (dram) dan John Deacon (bass), Queen sememangnya sebuah band ikonik dalam sejarah industri muzik dunia.

Karya agung yang melonjakkan nama Queen sehingga diingati ke hari ini terdiri daripada rantaian lagu hit seperti We Are The Champion, Crazy Little Thing Called Love dan We Will Rock You.

Atas keampuhan tersebut, sebuah filem berjudul Bohemian Rhapsody dihasilkan bagi memberi penghormatan kepada kumpulan rock itu selain memaparkan perjalanan kisah hidup vokalisnya, Mercury.

Sudahpun ditayangkan di Amerika Syarikat (AS) bermula 24 Oktober lalu dan mula memasuki pawagam negara ini bermula 8 November, naskhah arahan Bryan Singer tersebut menampilkan sosok pelakon berdarah Arab-Amerika, Rami Malek sebagai teraju utama.

Bohemian Rhapsody turut dibintangi Lucy Boynton, Gwilym Lee, Ben Hardy, Joseph Mazello, Aidan Gillen, Tom Hollander, Allen Leech dan Mike Meyers.

Bukan sekadar biopik biasa, lebih besar lagi Bohemian Rhapsody cuba mengangkat sebuah dunia sebenar di sebalik kehidupan glamor Mercury dan anggota band itu, selain memaparkan persembahan Queen pada konsert Live Aid di Stadium Wembley pada tahun 1985.

Menerusi naskhah yang menelan belanja sebanyak AS$55 juta (RM230 juta) itu, Malek menerima pujian melambung kerana berjaya menghidupkan watak Mercury dengan cemerlang tidak kira dari segi imej, penjiwaan karakter dan karakter ketika membuat persembahan yang sangat mirip dengan ikon rock itu.

Pujian tersebut menimbulkan cakap-cakap banyak pihak bahawa aktor berusia 37 tahun akan disebut-sebut sebagai calon kategori pelakon lelaki terbaik pada Academy Awards atau Oscar akan datang.

 

Keraguan

Di sebalik setiap pujian yang bertebaran wangi, ada sisi menunduk ke bumi pada diri Malek. Katanya, penerimaan positif daripada anggota Queen seperti Brian dan Roger serta adik perempuan Mercury sendiri, Kashmira Cooke sudah memadai buatnya untuk menerbit pelangi rasa di dasar jiwa.

“Tidak lama dahulu, saya berpeluang duduk dengan Cooke dan anak lelakinya. Perbualan kami sangat beremosi. Pada ketika itu saya dapat rasakan bahawa dia sangat tersentuh tetapi cuba mengawal perasaan. Begitu juga saya.

“Tatkala orang bercakap tentang anugerah dan sebagainya, saya tidak ambil peduli. Hakikatnya, sepanjang pembikinan filem ini, saya berpeluang menjalin hubungan baik dengan anggota sebenar Queen. Jadi apa lagi yang saya mahukan? Ini sudah lebih daripada cukup,” ujarnya penuh makna menerusi satu temu ramah bersama portal Vanity Fair.

Hakikatnya, Malek pernah meragui soal pemilihan dirinya sebagai pemeran watak ikon rock itu selain bimbang tentang kemampuannya memotret jelmaan Mercury dengan cemerlang.

“Sewaktu berjumpa penerbit Graham King dan Denis O’Sullivan, saya beritahu mereka yang saya bukan penyanyi dan tidak pandai bermain piano. Mungkin ada sesetengah perkara saya boleh buat, tetapi saya tahu ia sangat sukar.

“Sampai satu tahap, saya terfikir ini tidak setaraf dengan kemampuan saya. Saya tidak fikir mampu untuk melakukannya,” katanya.

Menyedari ia bukan satu kerja yang mudah, pelakon filem Night at The Musem itu mengakui, terpaksa melakukan banyak kajian untuk mendalami dan memahami sisi sebenar keperibadian Mercury tidak kira ketika berada bawah limpahan glamor mahupun sebaliknya.

Biarpun secara peribadi merupakan peminat kumpulan Queen, namun tidak banyak butiran kehidupan Mercury diketahuinya memandangkan ikon itu meninggal dunia pada 24 November 1991 sewaktu Malek berusia 10 tahun.

Sebelum Bohemian Rhapsody memulakan penggambaran, pelakon siri televisyen Mr. Robot itu terpaksa belajar menyanyi dan mendapatkan khidmat koreografer untuk menari.

Namun akhirnya Malek menyedari bahawa Mercury atau nama sebenarnya Farrokh Bulsara sebenarnya selalu melakukan pergerakan spontan ketika di atas pentas dan ia bukannya disebabkan latihan.

“Lantas saya memutuskan untuk belajar dengan seorang jurulatih bagi melakukan pergerakan. Pergerakannya tanpa batas dan perasaan malu.

“Oleh sebab itu saya perlu menjadi Mercury menerusi gaya dan tingkah lakunya di atas pentas, bagaimana dia mampu mengikut rentak muzik dengan lentur badannya sangat lembut seperti seorang penari balet,” ujarnya.

Selain berpeluang mengenali sisi kehidupan dan peribadi penyanyi lagu Bohemian Rhapsody itu menerusi rakan-rakan dan keluarga, Malek mengakui perkara paling besar menyumbang terhadap kajiannya adalah lirik tulisan penyanyi itu.

“Apa yang diterjemahkan Mercury di atas sehelai kertas lahir dari hati dan dia menyanyikannya dengan penuh yakin di hadapan ramai orang.

“Saya melihatnya seperti sebuah diari. Dia mencurahkan segala isi hati ke dalam lagu-lagunya. Ia sangat aneh tetapi begitu halus dan menyakitkan. Dia seorang lelaki yang rumit tetapi sedaya upaya cuba mencari cinta untuk kehidupannya,” kata Malek.

Meskipun bukannya seorang penyanyi, Malek berusaha untuk mengekalkan tahap suaranya agar berkeadaan baik dengan menyanyi setiap hari.

Pengakuan tersebut telah membawa persoalan, adakah lagu-lagu yang terdapat dalam Bohemian Rhapsody menggunakan vokal Malek.

“May dan Taylor memberi kerjasama untuk memasukkan suara saya sedikit dalam nyanyian Mercury selain menggunakan suara penyanyi berbakat, Marc Martel. Cuma, ketika saya menjayakan babak menyanyi, ia hanyalah gerakan bibir (miming) dan bukannya suara sebenar saya,” jelasnya yang menggemari lagu Somebody To Love itu.

Imej Mercury sangat terkenal dengan pemakaiannya yang gemar menyarung singlet putih dan berseluar jeans ketat ketika membuat persembahan. Namun satu hal lain yang begitu sinonim dengannya adalah kedudukan giginya yang agak pelik iaitu jongang ke depan.

Meskipun pada awalnya agak sukar untuk menyesuaikan diri sepanjang penggambaran, namun Malek berterima kasih terhadap gigi tersebut kerana ia membantunya menjelmakan sebagai Mercury.

“Jujur, sangat susah untuk menyanyi, bercakap dan bercium ketika menggunakannya. Tetapi saya sangat menghargainya sebab sekarang saya rasa begitu janggal tanpa memakai gigi tersebut,” akuinya yang membuat sedikit coretan emas pada gigi tersebut sebagai tanda penghormatan kepada Mercury.

 

Kritikan

Seiring dengan respons positif terhadap mutu lakonan Malek, Bohemian Rhapsody tidak dapat lari daripada kritikan negatif.

Antaranya tentang status seksualiti Mercury yang sememangnya terkenal sebagai seorang gay, selain kisah lelaki itu yang bertarung dengan penyakit AIDS sehingga penjadi penyebab kematiannya.

Terdapat beberapa kritikan mengatakan naskhah berkenaan sebenarnya adalah cara sesetengah pihak untuk ‘memutihkan’ imej hitam Mercury.

Malah kisah sewaktu hayat Mercury yang berperang dengan penyakit AIDS tidak diceritakan dengan banyak sehingga ada yang mendakwa ‘keaslian’ kisah hidup lelaki itu tidak ditonjolkan sepenuhnya dalam naskhah tersebut.

Sebagai individu yang dipilih memegang watak Mercury, Malek ada pegangan tersendiri. Dia berharap penonton tidak menilai filem berkenaan hanya berdasarkan trailer pertama yang pernah dikeluarkan beberapa bulan lalu.

“Ia sangat tidak adil jika orang menilai hanya berdasarkan beberapa minit visual daripada trailer. Saya tidak rasa naskhah ini cuba menutup kisah seksualiti Mercury atau penyakit AIDSnya.

“Kita semua tahu dia ada keistimewaan tersendiri. Cuma dia juga tidak dapat lari daripada bergelut dengan masalah peribadi, terutamanya dalam mencari identiti diri,” jelasnya.

Mendekati secara mendalam kehidupan Malek, dia dilahirkan pada 12 Mei 1981 di Los Angeles, California, AS dalam keluarga imigran berasal dari Mesir.

Selepas berjaya menggenggam ijazah dalam bidang seni persembahan dari University of Evansville di Evansville, Indiana, Malek memulakan langkahnya dalam industri pada tahun 2003 dan setahun kemudian muncul dalam siri televisyen, Gilmore Girls.

Malek juga pernah melalui episod dilema dengan industri lakonan kerana sering diberikan watak pengganas gara-gara memiliki paras masyarakat negara Timur Tengah. Antaranya, dia pernah memegang watak sebagai pengebom berani mati dalam siri televisyen 24.

Akibat stereotaip yang dijalani, Malek akhirnya membuat keputusan untuk tidak lagi membawakan watak sebegitu.

“Sampai satu tahap, saya tegaskan pada diri untuk meletakkan garis sempadan terhadap perkara yang akan dan tidak akan saya lakukan,” katanya.

Menghidupkan watak legenda iaitu vokalis kumpulan Queen, Freddie Mercury dalam filem biopik Bohemian Rhapsody, aktor Rami Malek dipuji dunia dek kecemerlangan menterjemahkan sisi ikonik rockers itu dari segenap aspek.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN