KUALA LUMPUR 28 Nov. – Nampaknya isu rusuhan di tapak Kuil Sri SrivMaha Mariamman, USJ 25, dekat sini semakin rumit apabila ada sahaja penafian dibuat sebaik sahaja pendedahan dilakukan.
Itulah yang berlaku apabila firma guaman yang mewakili syarikat One City Development Sdn. Bhd. (One City), Skrine pula menafikan mana-mana peguamnya terlibat mengupah sekumpulan lelaki untuk menceroboh kuil tersebut dalam kejadian itu.
Penafian tersebut dilaporkan portal Malaysiakini setelah Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan siasatan polis yang mendapati peguam kepada syarikat pemaju hartanah itu menyerahkan RM150,000 kepada ketua kumpulan lelaki itu untuk melakukan kerja menceroboh, mengambil alih dan mengawal kuil.
“Sementara Skrine pada masa ini mewakili syarikat pemaju dalam prosiding sivil melibatkan pemilikan tanah di mana kuil itu terletak, kami bukanlah peguam yang dirujuk menteri dalam negeri.
“Tiada peguam kami yang telah ditahan polis,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan seperti dipetik portal tersebut. – UTUSAN ONLINE










