KUALA LUMPUR 28 Nov. – FGV Holdings Bhd. (FGV) mencatat kerugian sebelum zakat dan cukai sebanyak RM911 juta untuk suku ketiga berakhir September 2018.
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Interim FGV, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid berkata, kerugian tersebut termasuk rosot nilai berjumlah RM788 juta.
Beliau berkata, daripada jumlah itu Asian Plantation Ltd. (APL) telah menyumbang 65 peratus daripada jumlah rosot nilai kumpulan iaitu sebanyak RM513 juta.
“Jika tidak termasuk rosot nilai berkenaan, kerugian sebelum zakat dan cukai yang dicatatkan kumpulan adalah RM123 juta, berbanding untung sebelum zakat dan cukai sebanyak RM118 juta yang dicatatkan suku sama tahun lalu,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas mengumumkan keputusan kewangan FGV di sini hari ini.
Jumaat lalu, FGV mengemukakan saman berjumlah RM514 juta serta ganti rugi lain terhadap bekas Presiden Dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah dan 13 yang lain berhubung pemerolehan APL pada 2014.
Tindakan itu menurut FGV dibuat berikutan kerugian yang dialami akibat daripada kegagalan mereka melaksanakan kewajipan dan tanggungjawab masing-masing serta kesetiaan atau kewajipan untuk melakukan penjagaan, kemahiran dan ketekunan yang munasabah.
Bagi prestasi suku tersebut, sektor perladangan FGV turut mencatat kerugian sebanyak RM849.8 juta berbanding untung sebanyak RM132.4 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Pengeluaran buah tandan segar (BTS) juga merosot 12.2 peratus kepada 1.08 juta tan metrik berbanding 1.23 juta tan metrik suku sama tahun sebelumnya.
Azhar berkata, prestasi lemah itu berikutan harga minyak sawit mentah (MSM) yang rendah, rosot nilai terhadap aset tidak ketara bernilai RM562 juta serta hartanah, kilang dan peralatan (PPE) berjumlah RM124 juta.
“Kerugian yang dikongsi menerusi syarikat usaha sama (JV) juga meningkat kepada RM60 juta,” katanya.
Selain itu katanya, purata harga MSM pada suku ketiga 2018 adalah 16 peratus lebih rendah iaitu pada kadar RM2,224 per tan metrik berbanding RM2,665 per tan metrik pada suku sama tahun lalu.
“Kami mengunjurkan harga MSM pada tahun depan akan berlegar sekitar RM1,900 dan RM2,100 satu tan metrik dan menyasarkan untuk meningkatkan pengeluaran MSM sebanyak 10 peratus pada tahun depan,” katanya.










