KUALA TERENGGANU 30 Nov. – Festival Layang-Layang Antarabangsa Beautiful Terengganu yang julung kali diadakan di negeri ini menarik penyertaan 58 peserta dari 10 negara dalam acara yang berlangsung mulai semalam hingga Ahad, di pantai Batu Burok di sini.
Penganjurnya, Mohd. Glen Abdullah berkata, orang ramai berpeluang menyaksikan pelbagai replika layang-layang termasuk daripada karakter kartun terkenal yang saiznya dianggarkan kira-kira 100 meter.
“Tujuan kita adalah untuk menghidupkan kembali nostalgia layang-layang dan wau yang cukup sinonim dengan Terengganu, bahkan saya difahamkan sudah 18 tahun acara seumpama ini tidak dianjurkan di negeri ini.
“Istimewanya, orang ramai turut berpeluang menyaksikan keindahan layang-layang berhias lampu diod pemancar cahaya (LED) pada majlis perasmian malam ini,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Mohd. Glen berharap, festival berkenaan dapat diteruskan dalam kalendar pelancongan negeri tahun dengan sasaran penyertaan tidak kurang daripada 25 negara dengan 280 peserta. – UTUSAN ONLINE










