Tidak lama dahulu kita dikejutkan dengan fenomena obor-obor di Pulau Langkawi yang telah menakutkan pelancong dan penduduk tempatan. Mengikut pakar, kejadian ini adalah bermusim dan disebabkan banyak faktor yang membawa obor-obor ke tepi pantai dan kepulauan pantai barat Semenanjung Tanah Melayu.
Menurut Jabatan Perikanan, fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada Pulau Langkawi tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Pinang dan Pulau Pangkor.
Ada juga kes dilaporkan di kawasan pantai Selatan Thailand. Kehadiran populasi obor-obor yang tinggi di perairan Perak bukan sahaja memberi kesan kepada pelancongan tetapi juga perjalanan janakuasa di Manjung, Perak. Sepatutnya ada pasukan khas yang diiktiraf bagi menangani isu obor-obor seperti pasukan untuk HAB (Harmful Algal Bloom) iaitu kumpulan alga mikro yang berbahaya.
Meletakkan tanda amaran bahaya obor-obor sahaja tidak memadai. Ia hanya sekadar mengingatkan pengguna pantai. Program pemantauan berterusan perlu diadakan bagi mendapatkan maklumat sebenar tentang obor-obor.
Maklumat yang ada nanti dapat mencadangkan pengurusan obor-obor. Pihak pengusaha pelancongan tempatan bolehlah menubuhkan tabung khas untuk penyelidikan.
Pakar-pakar di universiti dan institut penyelidikan dalam bidang berkaitan bolehlah menyumbang kepakaran mereka.
Banyak kes sengatan obor-obor berlaku di perairan negara ini. Obor-obor beracun yang boleh menyebabkan kematian kepada manusia dan haiwan. Obor-obor jenis ini lutsinar dan kadang-kadang tidak kelihatan dengan jelas dalam air laut. Selalunya obor-obor menyengat tanpa disedari sehingga bisanya masuk dalam ke badan.
Laporan akhbar dan jurnal tentang kes-kes serangan obor-obor menunjukkan perairan Malaysia juga boleh terdedah kepada ancaman obor-obor. Pada Jun lalu, kes warga Sweden mati disengat obor-obor telah menarik perhatian media massa dan agensi pelancongan tempatan .
Kes itu merekodkan obor-obor menyengat di kawasan utara Pulau Langkawi sekitar Pantai Tanjung Rhu.
Kehadiran obor-obor yang jarang dijumpai di perairan Malaysia mungkin kerana penghijrahan dari tempat lain kerana perubahan cuaca.
Selat Melaka yang merupakan laluan kapal yang paling sibuk di dunia tidak menolak kemungkinan sumbangan air balast dalam kehadiran populasi obor-obor di perairan Malaysia. Nutrien yang membawa fosforus dan nitrogen daripada aktiviti pertanian juga mungkin menggalakkan pertumbuhan plankton di kawasan pantai yang menggunakan banyak oksigen dalam air dan juga sebagai makanan obor-obor.Obor-obor juga diketahui yang tahan oksigen rendah.
Obor-obor Australia (Chironex fleckeri) dikatakan hidupan laut yang paling berbisa. Saiznya yang mencecah satu kaki garis pusat dan tebalnya dengan tentakel sepanjang 10 kaki panjang. Bisa obor-obor ini boleh menyebabkan sindrom Irukandji yang boleh menyebabkan peningkatan darah tinggi tidak normal, sakit belakang, pening, muntah, kejang otot, kesukaran bernafas dan kegagalan jantung. Obor-obor Australia ini boleh membunuh seorang dewasa dalam masa tiga minit. Kehadiran spesies ini membahayakan orang yang berenang dan nelayan pantai.
Penyelidik Pusat Kajian Marin dan Pantai (Cemacs) Universiti Sains Malaysia mendapati kehadiran spesies berbahaya ini di perairan Malaysia terutama semasa air pasang yang mana obor-obor bergerak perlahan berdekatan dengan pantai. Pantai Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah, Tanjung Tokong dan Pantai Bersih antara kawasan kajian populasi obor-obor.
Populasi obor-obor di perairan Malaysia dikatakan tinggi dalam bulan Julai, Oktober, November dan Disember. Walaupun box jellyfish dikatakan paling beracun di dunia, namun hanya beberapa spesies sahaja yang dilaporkan sengatannya mengakibatkan kematian.
Kajian pergerakan atau proses penghijrahan obor-obor penting. Faktor arus air laut yang membawa obor-obor, suhu air permukaan laut, faktor penggalak pembiakan dan tumbesaran obor-obor juga perlu dikaji. Ada kajian mendapati obor-obor berhijrah ke kawasan panas dari kawasan yang lebih sejuk dan membiak.
Penghijrahan ini adalah fenomena lazim bagi hidupan laut. Faktor kekurangan oksigen di dalam air laut, fitoplankton, suhu dan kemasinan mempengaruhi populasi obor-obor. Tidak ketinggalan juga faktor air balast. Di Filipina dilaporkan sebanyak antara 20 hingga 40 kes kematian disebabkan obor-obor setahun.
Serangan obor-obor boleh menyebabkan berbagai kesan kepada manusia. Apabila obor-obor tersentuh manusia, ia akan mengeluarkan bisanya yang menyebabkan paralisis dan boleh menyebabkan mati lemas. Ada juga yang menyebabkan gangguan kardiovaskular.
Penyelidik dari Jabatan Perubatan Tropika Universiti Hawaii mendapati, bisa obor-obor boleh menyebabkan kebocoran kalium yang menyebabkan hyperkalemia yang boleh menyebabkan gangguan kardiovaskular dan menyebabkan kematian dalam masa dua hingga lima minit jika tidak dirawat segera.
Pengusaha pelancongan dan nelayan mesti dimaklumkan kaedah menyelamatkan diri apabila disengat obor-obor. Misalnya cepat balik ke pantai, keluarkan tentakel yang masih melekat pada mangsa, bilas dengan air laut, jangan sentuh luka, jangan letakkan apa-apa bahan seperti cuka, urin, ammonia dan spirit seperti yang ditularkan dalam media kerana ia mungkin akan menyebabkan peningkatan racun keluar dari tentakel.
Kemudahan bantuan kecemasan boleh disediakan apabila ada maklumat obor-obor berbahaya di perairan pantai.
Obor-obor boleh dijumpai di semua perairan negara tropika. Malaysia juga tidak ketinggalan menanggung risiko serangan obor-obor. Daripada 2,000 spesies obor-obor yang diketahui, lebih kurang 100 spesies sahaja yang membahayakan kepada manusia.
Antara obor-obor yang terdapat di Malaysia, Australia, Thailand, Filipina dan kawasan lautan yang panas di dunia ialah jenis Chirones box jellyfish (chirodropid, alata, fleckeri). Obor-obor daripada jenis Portugese man of war (Physalia sp.) tersebar di kawasan Lautan Pacifik dan Lautan Hindi kadang-kadang terdapat juga di pantai Malaysia. Spesies ini juga menyengat dan berbahaya.
Selalunya nampak seperti jeli kebiruan. Contoh lain ialah dari jenis Phyllorhiza, Chrysoara sp, Nemopilema sp. Ini juga adalah antara obor-obor beracun yang menyengat manusia terdapat di Malaysia dan seluruh dunia. Bentuk seperti loceng ini selalunya semilutsinar, bintik putih dan jalur merah cokelat. Obor-obor ini boleh menyebabkan kesakitan dan memberikan kesan apabila menyengat.
Journal of Travel Medicine 2011 menerangkan obor-obor adalah antara yang boleh menyebabkan kecederaan biasa dan bisa obor-obor boleh membunuh ikan dan udang.
Kebanyakan obor-obor tidak berbahaya. Namun begitu sudah banyak kes seperti kes Irukandji dilaporkan di perairan Semenanjung dan Sabah sepanjang tahun 2000 hingga 2010.










