LONDON 18 Nov. – Roger Federer berharap emosi pengutip bola yang terlepas bola ketika aksi kemuncak separuh akhir tenis ATP Final tidak terganggu selepas dia tewas mengejut kepada bintang muda Jerman, Alexander Zverev, hari ini.
Zverev, 21, menang 7-5, 7-6 (7/5), namun saingan di 02 Arena dibayangi insiden yang dilakukan budak pengutip bola.
Pemain No. 2 dunia, Federer sedang mendahului 4-3 dalam tie-break di set kedua, dan ketika dia bermain rali untuk mencari mata kelima, budak pengutip bola secara tidak sengaja menjatuhkan semua bola di atas gelanggang.
Zverev memberi isyarat agar permainan dihentikan, dan pengadil mengarahkan perlawanan disambung semula dengan kedudukan 0-0.
“Saya mahu meminta maaf atas situasi tie-break,” kata pemain No. 5 dunia, Zverev sejurus tamat permainan.
Zverev meraih mata menerusi pukulan ace dan mendahului 5-4, sebelum kesilapan Federer di jaring membolehkan lawannya mengutip dua mata berturut-turut untuk memenangi perlawanan.
Sejurus tamat saingan, penyokong Federer mengejek budak pengutip bola, sekali gus memaksa wartawan di lapangan, Annabel Croft meminta mereka menghormati Zverev.
Federer, 36, yang memburu gelaran ketujuh musim ini kemudian menjelaskan, tindakan Zverev menghentikan permainan memberi kesan besar namun tidak menyalahkan pemain tersebut.
“Ia okey, tiada masalah. Perkara seperti ini boleh berlaku.
“Semuanya bagus. Saya harap tidurnya (budak pengutip bola) tidak terganggu. Ia bukan perkara yang besar.
“Saya tidak marah kepadanya. Semua bagus daripada pihak saya,” kata bintang Switzerland itu.
Zverev akan bertemu pemain No. 1 dunia, Novak Djokovic yang mara selepas mengetepikan Kevin Anderson 6-2, 6-2. – AFP










