Farizal luah rasa terkilan - Utusan Malaysia

Farizal luah rasa terkilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAH pihak pengurusan Felda United menggugurkan penjaga gol utamanya, Mohd. Farizal Harun disifatkan sebagai tindakan tidak profesional.

Farizal berkata, pihak pengurusan sepatutnya berbincang dengan beliau terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan tidak menyambung kontraknya.

“Saya terkejut apabila nama digugurkan pada 8 November lalu biarpun saya tidak memberitahu hasrat untuk berundur.

“Lebih elok sekiranya mereka berbincang dengan cara baik agar saya lebih bersedia untuk mencari pasukan lain,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Menurut Farizal, tindakan menyingkirkannya juga agak lewat dan ia sepatutnya dilakukan lebih awal bagi memudahkan dia membuat tawaran kepada pasukan lain.

“Saya rasa kecewa kerana tindakan ini bagaikan tidak berbaloi jika diambil kira dengan komitmen yang saya berikan sejak 2014,” ujarnya.

Farizal memberitahu, dia akan mencari pasukan yang lebih baik untuk beraksi dalam kancah Liga Malaysia 2019.

“Saya bukan sahaja terpaksa mencari pasukan baharu, malah perlu bersaing untuk menempatkan diri sebagai penjaga gol utama,” jelasnya.

Difahamkan, penstrukturan semula bajet skuad The Fighters pada musim depan menjadi salah satu faktor beberapa pemain digugurkan.

Pencapaian terbaik Farizal adalah membantu Felda United muncul juara Liga Premier musim ini untuk kembali beraksi dalam saingan Liga Super 2019.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN