KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Michael Ramalingam tetap peka terhadap insiden yang berlaku ke atas penyokong Myanmar biarpun tiada laporan polis yang dibuat berkenaan mangsa serangan penyokong Malaysia selepas pertemuan Piala AFF Suzuki di Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu lalu.
Susulan kejadian tersebut, FAM telah mengambil inisiatif mengadakan pertemuan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Myanmar, Lovely Heart Organization apabila Ko Thet selaku wakil penyokong yang dilaporkan menjadi mangsa serangan.
Stuart memohon maaf atas insiden yang berlaku dan mengambil berat tentang keadaan mangsa biarpun tiada laporan polis yang dibuat seperti yang disahkan oleh Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon.
“Sebagai badan induk bola sepak yang menaungi semua kegiatan sukan ini, saya bagi pihak FAM memohon maaf secara rasmi kepada penyokong terbabit.
“FAM telah mengambil langkah-langkah keselamatan di persekitaran stadium tetapi tidak mampu mengawal kejadian tidak diingini yang di luar kawasan kami.
“Kami menggesa agar semua penyokong mengamalkan prinsip kesukanan yang tinggi, sebelum, semasa dan selepas menonton perlawanan,” kata Stuart menerusi laman sosial Facebook rasmi FAM.
Laporan yang tular menerusi media sosial mendakwa 20 penyokong Myanmar termasuk wanita diserang kira-kira 30 penyokong Malaysia dan dibawa menjalani rawatan di hospital.
Bagaimanapun, penyokong yang mendakwa menjadi mangsa tersebut enggan memenuhi jemputan FAM, sebaliknya hanya mewakilkan Ko Thet. – K! ONLINE










