ALOR SETAR 15 Nov. – Menangani isu peningkatan kos sara hidup dan harga barang ketika ini penduduk Kedah dinasihatkan agar bijak berbelanja termasuk memilih kedai atau pasar raya yang menyediakan barangan harga murah.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat India, Perpaduan, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi negeri, R. Summugam (PKR-Bukit Selambau) berkata, pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) tidak membeban sekiranya pengguna peka dengan harga barang keperluan masing-masing.
“Salah satu cara atasi kos sara hidup adalah membeli barang di kedai atau pasar raya menjual barang pada harga murah seperti Mydin. Pasar raya seperti ini mendapatkan stok barang secara pukal jadi harga barang kepada pengguna lebih rendah.
“Selain itu kenal pasti harga barang melalui laman web, Price Catcher yang disediakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Di sini kita tahu lokasi di mana kedai yang jual barang mudah, “ katanya menjawab pertanyaan mulut pada Sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan daripada Datuk Suraya Yaacob (BN-Sungai Tiang) tentang langkah yang diambil oleh kerajaan negeri dalam menangani kos sara hidup dan kenaikan harga barang dalam kalangan golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
Menjawab lanjut kata Summugam, pemantauan secara berterusan dijalankan ke atas semua premis perniagaan bagi memastikan tiada berlaku pencatutan.
“Sehingga 22 Oktober lepas, sebanyak 1,760 pemeriksaan premis melibatkan sejumlah 52,800 barangan dijalankan bagi seluruh Kedah.
“Bagi Kedah sehingga 24 Oktober sebanyak 10 notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dikeluarkan kepada peniaga-peniaga,” katanya.
Tambah beliau, kementerian akan bertindak tegas terhadap mereka yang mengambil kesempatan mengekploitasi harga dan menjejas kepentingan pengguna.- UTUSAN ONLINE










