EM-IIG tawar internet pantas - Utusan Malaysia

EM-IIG tawar internet pantas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Projek Gerbang Internet Antarabangsa Enchanced Malaysia (EM-IIG) bernilai RM5.45 bilion yang menggunakan kabel gentian optik 150 terabait bakal menawarkan internet yang pantas dan murah.

Ia dijangka siap pada September 2019.

Pengerusi Eksekutif Xiddig Cellular Communications Sdn. Bhd. (Xiddig), Datuk Seri Abdul Rashid Abdul Rahim berkata, projek yang dibangunkan syarikat itu melibatkan pemasangan kabel gentian optik bawah laut dari hab internet antarabangsa Hong Kong dan menghubungkan Sabah, Sarawak serta Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata, projek melibatkan jarak 110,000 kilometer (km) itu dilaksanakan secara berperingkat dengan fasa pertama meliputi kawasan berjarak 33,000km di bandar utama negara ini sebelum diperluaskan ke kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Secara keseluruhan, projek pemasangan kabel optik gentian ini mengambil masa lima tahun dan kerja-kerja pemasangan bawah laut telah mula berjalan sejak awal tahun ini dari Hong Kong. Ia dijangka masuk ke perairan Malaysia pada April 2019.

“Terdapat enam ste­sen pendaratan bagi pemasangan kabel optik gentian ini.

“Ia merangkumi Bintulu, Sarawak; Papar, Sabah; Pengerang, Johor; Batu Kawan dan Batu Maung, Pulau Pinang serta Tok Bali, Kelantan,” katanya kepada pemberita selepas program Taklimat Dan Pendaftaran Kontraktor Projek EM-IIG di Ayer Keroh di sini semalam.

Abdul Rashid berkata, menerusi projek itu, tahap capaian internet lebih pantas, berkelajuan tinggi dan berkesan untuk dinikmati rakyat di negara ini, termasuk yang menetap di kawasan pedalaman pada harga yang jauh lebih murah.

“Menerusi projek ini pengguna tiada lagi masalah capaian dan boleh menikmati perkhid­matan internet berkelajuan tinggi yang dibekalkan menerusi Fiber to the Home (FTTH) iaitu lima megabait sesaat hingga satu gigabait sesaat meliputi semua kawasan.

“Usaha ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan semua rakyat menikmati kemudahan yang sama,” jelasnya.

Beliau berkata, Xiddig turut bercadang membangunkan pusat data peringkat 4 di Malaysia dengan dapat terus diakses dengan lancar, di samping membawa teknologi 5G kepada pengguna.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan bahawa harga langganan internet itu akan diumumkan kemudian. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN