Elakkan kenyataan mencurah minyak ke dalam api - Utusan Malaysia

Elakkan kenyataan mencurah minyak ke dalam api

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEBEBASAN bersuara memang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 10 (1). Namun kebebasan bukanlah mutlak kerana Perlembagaan juga membenarkan undang-undang digubal bagi menyekat kebebasan tersebut untuk tujuan keselamatan.

Maka, setiap tutur kata haruslah cermat apatah lagi jika melibatkan perkara-perkara sensitif di negara ini iaitu agama, kaum dan institusi raja. Sebab itu, Akta Hasutan digubal dan menjangkau kekebalan dalam persidangan Dewan Rakyat atau Dewan Negara.

Perihal kenyataan lawak pemimpin kerajaan dan politik sehingga menjadi bahan jenaka di media sosial akibat kekurangan pengalaman sebenarnya bukanlah isu besar bagi negara.

Namun jika salah cakap atau tulis itu berkaitan hal-hal membangkitkan keresahan masyarakat berbilang kaum dan agama, itu adalah serius. Bukan masanya untuk meraih populariti.

Ini terutama mereka yang sudah berada dalam pimpinan kerajaan, ingatlah kenyataan yang mungkin biasa dilakukan sebagai pembangkang suatu ketika dahulu sudah tidak boleh lagi diterima apabila bergelar pemimpin baik di peringkat negeri mahu pun Pusat.

Tidak perlu mendahului pihak berkuasa yang menjalankan siasatan seolah mereka yang lebih mengetahui. Tugas pemimpin untuk membantu pihak berkuasa mengawal ketegangan dan bukan sebaliknya.

Jenayah boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja tanpa mengenal warna kulit apatah lagi agama. Jangan pula jadi seperti sesetengah pihak di Barat yang cenderung mengaitkan jenayah keganasan dengan agama tertentu.

Justeru peringatan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari susulan insiden rusuhan di tapak Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, awal pagi ini memang tepat iaitu hentikan kenyataan yang boleh menimbulkan keresahan masyarakat.

Memang status di media sosial ada peluang untuk meminda kenyataan tetapi ini bukan seperti situasi terlajak perahu yang boleh diundur. Ingatlah pada situasi pulut dan santan sebelum menyiarkannya. Harap sangat perkara ini jadi iktibar pada masa depan.

Jangan sesekali menangguk di air keruh. Serahkan sepenuhnya kepercayaan kepada polis seperti tegas Amirudin. Ini terutamanya yang sudah dalam pimpinan kerajaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN