KEMAJUAN teknologi telekomunikasi hari ini telah merubah landskap perniagaan dengan kewujudan sambungan internet berhalaju tinggi serta media sosial yang bertindak sebagai platform baharu usahawan bagi memasarkan produk mereka.
Perkembangan pesat ini menyaksikan peningkatan persaingan antara usahawan yang berlumba-lumba untuk mendapatkan tempat dalam pasaran alam maya, sekali gus menggalakkan pertumbuhan inovasi dalam kalangan peniaga termasuk usahawan kecil di Malaysia.
Mengambil maklum perubahan ini, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) melihat peningkatan persaingan perniagaan atas talian turut meningkatkan risiko pelanggaran harta intelek usahawan tempatan khususnya mereka yang memasarkan produk berasaskan rekaan dan inovasi.
Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan MyIPO, Mohd. Shahar Osman berkata, banyak produk kreatif yang dipasarkan secara online di media sosial seperti Facebook dan Instagram namun tidak didaftarkan sebagai harta intelek lantas mendedahkan risiko produk itu diciplak sekali gus merugikan usahawan.
“Usahawan yang dimaksudkan itu terdiri daripada segenap golongan masyarakat termasuk suri rumah, pelajar dan pekerja sektor lain yang mengambil peluang membuat perniagaan sambilan.
Ini adalah satu perkembangan positif kerana perniagaan bukan lagi sesuatu yang eksklusif kepada syarikat-syarikat dan mereka yang mempunyai modal besar dan menyumbang ke arah pertambahan produktiviti harta intelek.
“Akan tetapi, kita melihat masih ramai usahawan tempatan terutama dari golongan perusahaan kecil dan sederhana serta peniaga atas talian yang masih belum mendaftarkan jenama dan produk kreatif yang mereka bina,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Menurutnya, sehingga kini, permohonan untuk mendaftar harta intelek dalam kalangan usahawan tempatan masih pada tahap biasa berbanding dengan permohonan luar negara.
Tahun 2017 menyaksikan 21,300 permohonan daripada usahawan tempatan untuk mendaftarkan harta intelek mereka berbanding 28,888 usahawan asing.
Statistik direkodkan MyIPO dari tempoh Januari 2013 hingga Januari 2018 menunjukkan permohonan pendaftaran tempatan ketinggalan jauh dengan 112,190 berbanding 162,999 (asing).
“Dalam bidang keusahawanan, satu aspek yang perlu diberi keutamaan ialah harta intelek memandangkan usahawan menaruhkan reputasi jenama dan produk mereka.
“Persaingan perniagaan menuntut reputasi dan penjenamaan bagi merebut jualan. Elemen tersebut amat rapuh dan berisiko ditiru orang lain apatah lagi dalam landskap perniagaan online. Mereka bukan sahaja menghadapi risiko produk mereka ditiru, tetapi juga jenama dan idea perniagaan mereka. Amat penting untuk para usahawan melindungi harta intelek mereka,” jelasnya.
Jelas Mohd. Shahar, Malaysia merupakan negara pengeksport produk reka bentuk seperti perabot, tetapi tidak ramai pembuat perabot di Malaysia yang mendaftarkan reka bentuk mereka.
“Usahawan akan berdepan dengan kerugian sekiranya modul perniagaan, cap dagangan dan logo mereka tidak didaftarkan. Dalam senario terburuk, pesaing mereka akan mengambil langkah mendaftarkan rekaan tersebut dan akhirnya pemilik asal yang berputih mata,” ujar beliau.
Katanya, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah memperkenalkan dasar 30 peratus produk usahawan tempatan di pasar raya asing sebagai satu inisiatif menggalakkan pendaftaran harta intelek.
“Dengan adanya inisiatif ini, produk tempatan mendapat peluang untuk bersaing dengan produk asing dengan memperkenalkan jenama mereka,” tambahnya.
Justeru, bersempena sambutan ke-15 tahun perkorporatan MyIPO pada Mac ini, badan itu akan menganjurkan Karnival Harta Intelek pada 3 hingga 4 Mac di Paradigm Mall, Petaling Jaya, Selangor bagi meningkatkan kesedaran mendaftar harta intelek.
“Kita akan mendapatkan penglibatan usahawan-usahawan Melayu, Cina dan India untuk menyertai bengkel panduan cara pendaftaran. Kita juga akan menyediakan khidmat semakan cap dagangan secara percuma bernilai RM1,000 untuk semua usahawan termasuk peniaga atas talian yang datang untuk mendaftar semasa karnival,” katanya.
Antara aktiviti yang akan diadakan ialah sesi bual bicara harta intelek oleh pegawai MyIPO, usahawan yang mendaftar harta intelek, persembahan selebriti yang mendaftarkan hak cipta mereka dan juga kuiz harta intelek.










