KUALA LUMPUR 29 Nov. — Netizen diminta agar mengelakkan sebarang provokasi serta komentar negatif di dalam media sosial yang boleh menjejaskan ketenteraman rakyat pelbagai kaum di Malaysia.
Pengerusi Yayasan Perpaduan Malaysia (YPM), Dr. Chandra Muzaffar berkata, setiap kali tercetus isu etnik atau agama, media sosial sering memberi tafsiran yang berat sebelah atau bersifat prasangka.
Beliau berkata, wacana media sosial seperti ini akan memburukkan lagi hubungan sesama etnik di Malaysia.
“Perkara ini secara tidak langsung akan mewujudkan perbalahan antara dua pihak sekali gus akan mengakibatkan rasa tidak percaya dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Ekoran insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya dekat sini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan sebuah pasukan khas dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bagi memburu individu-individu yang terlibat.
Kejadian itu dikatakan berlaku kerana perselisihan faham antara dua kumpulan berpunca daripada isu perpindahan tapak kuil berkenaan.
Mengulas lanjut, Chandra Muzaffar berkata, peristiwa itu telah mendedahkan kecenderungan tertentu dalam masyarakat Malaysia yang telah wujud beberapa kali sebelum ini.
“Jelas sekali bahawa penempatan semula kuil merupakan isu yang mendatangkan keperitan sekali gus menjadi penyebab tercetusnya ketidaktenteraman ini. Penyelesaian yang terbaik adalah dengan menghormati integriti rumah ibadat melalui perbincangan dan perundingan secepat mungkin,” katanya. -UTUSAN ONLINE










