IMPIAN untuk melihat pokok cengal terbesar dan tertua di Semenanjung Malaysia itu sudah lama dipendam. Justeru, pelawaan rakan sepejabat untuk melihat pokok yang terletak dalam Hutan Simpan Pasir Raja, Dungun, Terengganu itu diibaratkan ‘rezeki terpijak’.
Tiba tarikh yang telah ditetapkan, saya menumpang kenderaan pacuan empat roda (4×4) milik Asmaruddin Jamaluddin menuju ke Dungun.
Usai solat Jumaat di Masjid Kampung Jongok Batu, konvoi 4×4 kami bergerak menuju ke pintu rimba pada 12 Oktober lalu. Hujan berterusan mengundang kebimbangan kerana pastinya laluan balak yang akan ditempuh becak.
Dalam hujan lebat, kami singgah di sebuah kedai makan untuk makan tengah hari.
Perjalanan diteruskan dan jentera mula memasuki laluan tanah merah. Tidak lama kemudian, kami sampai ke papan tanda bertulis Selamat Datang Ke Kawasan Pokok Chengal Besar.
Menjelang pukul 3 petang, kami meneruskan pemanduan menuju ke tapak perkhemahan Sungai Loh. Terdapat pokok tumbang menghalang laluan menyebabkan pergerakan menjadi agak perlahan
Selain itu, sebuah kenderaan Kia Sportage ‘tersangkut’ di pertengahan laluan berbukit. Disebabkan lama menunggu, ada penumpang kenderaan di belakang turun dan berjalan kaki ke arah bukit tersebut. Agak lama juga kami terpaksa menunggu. Penyelesaiannya adalah mengalihkan dan meninggalkan jentera terbabit di tepi jalan.
Di laluan yang sama, kenderaan Nissan Terrano yang dipandu Asmaruddin ‘tergantung’ dua tayar ketika berusaha mendaki laluan bukit yang agak panjang itu. Situasi sedikit cemas tetapi terkawal.
Menjelang pukul 5 petang, kesemua jentera selamat tiba di tapak perkhemahan Sungai Loh. Aliran sungai yang teramat jernih seperti ‘memanggil-manggil’ kami untuk berendam. Namun, beberapa kerja perlu diselesaikan dahulu iaitu mendirikan khemah kumpulan, khemah dapur dan khemah tempat tidur. Selepas itu, kami sibuk menyediakan makan malam iaitu nasi putih, sambal sotong, ikan goreng, sayur campur, sambal mangga muda dan ayam masak lemak cili padi.
Begitulah suasana perkhemahan di dalam hutan jika menaiki kenderaan 4×4. Barangan basah untuk dimasak, kerusi, meja dan peralatan berat lain boleh dibawa tanpa masalah.
Keesokan harinya, perjalanan menuju ke pokok cengal besar bermula pada pukul 9 pagi. Sungai Loh diseberangi sebelum kami masuk ke laluan balak.
Daripada hampir 40 peserta, hanya separuh sahaja mengikuti aktiviti treking ke cengal besar, termasuk peserta dari Johor. Trek lebar dan bersih daripada semak. Beberapa anak bukit ditempuh termasuk menyeberangi sungai. Akhirnya kami membelok masuk ke simpang kiri.
Terdapat papan tanda bertulis 720 meter iaitu jarak untuk sampai ke pokok cengal. Setiap 100 meter, terpacak papan tanda jarak. Terasa meriah pula apabila setiap kali tiba di papan tanda, anak-anak peserta akan membaca jarak yang ditulis pada papan tanda itu dengan suara yang kuat.
Trek hutan yang ditempuh agak sempit. Kami tiba di pokok cengal pada pukul 11.05 pagi. Berakhirlah perjalanan berjarak 3.9 kilometer dari tapak perkhemahan Sungai Loh.
Oleh kerana kawasan belakang pokok cengal dipenuhi semak, maka rancangan kami untuk membuat rantaian tangan mengelilingi perdu pokok tidak dapat dilakukan. Jadi, kami sekadar bergambar di hadapan pokok sahaja.
Selesai sesi bergambar, kami beransur-ansur meninggalkan pokok cengal besar.
Seorang peserta, Nazeeha Ziarat Khan, 24, berkata, beliau sudah biasa masuk ke hutan dengan menaiki jentera 4×4 kerana sebagai sukarelawan, beliau kerap masuk ke kampung Orang Asli bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Untuk aktiviti treking ke cengal besar, tidaklah sukar. Laluan sedikit berbukit dan tidak berapa jauh,” katanya.
Tambahnya, aktiviti perkhemahan juga tidak kekok diikuti kerana sudah biasa berkhemah sepanjang mengikuti program amal di kampung Orang Asli.
“Selain mengendalikan kelas fardu Ain dan Iqra’ untuk mualaf Orang Asli, sesekali saya ‘turun’ ke dapur untuk memasak,” ujarnya yang mewakili Pertubuhan Tawfiq di bawah Unit Dakwah Bilnal.










