SEREMBAN – Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan memutuskan untuk merayu keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban yang mengisytiharkan kemenangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebagai terbatal dan tidak sah.
Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya meneliti alasan penghakiman yang diberikan secara lisan dan mendapat nasihat daripada peguam untuk mempertahankan kerusi tersebut.
“Rayuan ini difailkan untuk membebaskan saya dari sebarang dakwaan salah laku terhadap saya semasa hari penamaan calon PRU-14 yang lalu.
“Rayuan ini juga telah difailkan demi kepentingan terbaik pengundi DUN Rantau dan juga sebagai benteng terakhir untuk mempertahankan posisi saya selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau,” katanya pada sidang media di Wisma UMNO Negeri Sembilan di sini hari ini. – K! ONLINE










