Duda dihukum penjara 28 tahun - Utusan Malaysia

Duda dihukum penjara 28 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Seorang duda dijatuhi hukuman penjara selama 28 tahun dan 25 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan mencabul dan merogol anak perempuannya sejak September lalu.

TERTUDUH (tengah) dikawal ketat oleh anggota polis ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar semalam atas pertuduhan merogol anak perempuannya.

Tertuduh berusia 42 tahun yang bekerja sebagai pengutip besi itu mengaku bersalah bagi satu pertuduhan cabul dan dua pertuduhan merogol mangsa yang berusia 12 tahun 20 hari.

Memuatkan artikel berkaitan…

Hakim Juraidah Abbas menjatuhkan hukuman penjara selama 20 tahun dan 10 kali sebatan bagi setiap pertuduhan rogol ke atas tertuduh.

Juraidah memerintahkan hukuman penjara itu berjalan secara serentak bermula dari pada tarikh tangkap pada 2 November lalu.

Di mahkamah berasingan, Hakim Azman Abu Hassan menjatuhkan hukuman penjara selama lapan tahun dan lima kali sebatan ke atas tertuduh bagi pertuduhan mencabul.

Lelaki itu bagaimanapun hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 28 tahun bagi ketiga-tiga pertuduhan.

Juraidah ketika membacakan penghakimannya berkata, jenayah yang dilakukan tertuduh adalah kejam, hina, jijik dan tidak boleh diterima mana-mana individu.

“Perbuatan itu meninggalkan kesan hitam dalam sejarah hidup anak kamu.

“Mahkamah berharap kamu insaf dan kembali ke pangkal jalan,” katanya ketika prosi­ding.

Tertuduh telah bercerai dengan isterinya sejak 10 tahun lalu dan tinggal serumah dengan mangsa serta seorang adik perempuannya yang me­rupakan orang kelainan upaya (OKU) pekak dan bisu.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa di sebuah rumah dalam daerah Pendang dekat sini pada sebelah malam 18 September 2018 dan penghujung bulan lalu.

Pendakwaan bagi dua pertuduhan tersebut dilakukan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta dikenakan tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan mencabul, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 25 tahun dan dikenakan tidak kurang dua sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Rehab Abdul Shukur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×