Dua remaja ditahan kes curi motosikal - Utusan Malaysia

Dua remaja ditahan kes curi motosikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM 16 Nov. – Motosikal yang dicuri akan dibawa balik ke rumah untuk dileraikan komponen sebelum rangkanya dibuang ke dalam semak berhampiran landasan kereta api.

Itulah tindakan yang dilakukan dua remaja berusia 16 tahun yang ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam beberapa kes kecurian motosikal di sekitar Seberang Perai Tengah (SPT) sejak beberapa bulan lalu.

Ketua Polis Daerah SPT Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, pihaknya bertindak atas maklumat berkaitan kes curi motosikal dan menahan kedua-dua remaja itu yang telah dibuang sekolah di Tanah Liat dekat sini semalam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di rumah salah seorang suspek, polis menemukan beberapa komponen antaranya ekzos, rim, meter, lampu, blok enjin, enjin, kulit enjin serta beberapa komponen lain yang disorokkan.

“Hasil soal siasat ke atas suspek, mereka mengaku mencuri sebuah motosikal jenis Sym di Sungai Rambai sebelum meleraikan komponennya di rumah sebelum rangka dibuang di tepi landasan kereta api di sini.

“Berdasarkan maklumat itu juga, polis membawa mereka ke lokasi terbabit dan menemukan tiga rangka motosikal jenis Honda EX5, Honda Wave dan Sym di dalam semak di kawasan itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, kedua-dua suspek kini ditahan reman untuk disiasat di bawah Seksyen 379A kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN