Dua pegawai Imigresen di penjara dua tahun, denda RM1,400  - Utusan Malaysia

Dua pegawai Imigresen di penjara dua tahun, denda RM1,400 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Dua pegawai Jabatan Imigresen Selangor menerima padah apabila dijatuhi penjara dua tahun dan denda RM1,400 oleh Mahkamah Seksyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan melakukan pecah amanah permohonan pasport antarabangsa berjumlah RM1,400, dua tahun lalu.

Hakim Rozilah Salleh turut memerintahkan kedua-dua tertuduh, Suhana Samad, 36 dan Zalita Haron, 40, dihukum penjara enam bulan lagi sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Rozilah memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

“Wang berjumlah RM200 itu adalah hasil kerajaan dan sebagai pegawai Imigresen tidak memanipulasi sistem (pemohonan pasport) bagi mendapatkan keuntungan.

“Sepatutnya sebagai pegawai tertinggi (Zalita) harus tegur perbuatan itu dan bukannya turut serta sekali (dalam pecah amanah itu). Bila buat salah kena muhasabah diri,” katanya dalam penghakimannya.

Zalita merupakan pegawai penyelia kepada Suhana di bahagian pasport Jabatan Imigresen Selangor di daerah Petaling Jaya.

Bagaimanapun, Rozilah membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara yang dibuat oleh peguam kedua-dua tertuduh dengan syarat perlu memfailkan rayuan hari ini selewat-lewatnya pukul 3 petang ini.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan pecah amanah bagi pembayaran permohonan pasport antarabangsa berjumlah RM200 setiap seorang bagi tujuh individu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka di bahagian pasport Jabatan Imigresen Selangor di Petaling Jaya pada 28 Jun sehingga 1 Julai 2016.

Justeru, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda dan sebat.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Mohammed Heikal Ismail manakala tertuduh diwakili peguam CR Selva dan Jesvinder Singh. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN