KUALA LUMPUR 28 Nov. – Dua lelaki warga Myanmar berdepan hukuman di tali gantung setelah didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegara mereka di hadapan sebuah bank, bulan lalu.
Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada Sam Lalsawyzau, 30, dan Hrang Lian Thanga, 39.
Kedua-dua tertuduh didakwa membunuh Ro Nghak Lawm di depan CIMB Bank, Jalan Bukit Bintang di sini pada pukul 5.30 petang, 30 Oktober lalu.
Pertuduhan terhadap kedua-dua lelaki itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afiq Nazrin Zaharinan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.
Majistret Siti Radziah Kamarudin menetapkan 29 Januari tahun depan untuk sebutan kes sementara menunggu laporan forensik dan bedah siasat. – UTUSAN ONLINE










