Dua beradik cedera ditetak bapa kandung - Utusan Malaysia

Dua beradik cedera ditetak bapa kandung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BELUD – Dua beradik termasuk seorang remaja perempuan cedera dipercayai ditetak bapa kandung yang panas baran di sebuah rumah tidak bernombor, Kampung Rantai Rosok di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 8.30 malam tersebut, mangsa berusia 22 dan 15 tahun cedera pada tangan kiri akibat ditetak dengan parang oleh suspek di dalam rumah terbabit.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superitendan Mohd. Zaidi Abdullah berkata, hasil siasatan awal mendapati sebelum kejadian mangsa lelaki berusia 22 tahun yang baru pulang daripada minum arak telah meludah di kawasan rumah.

Bagaimanapun, sikap pemuda itu ditegur oleh adik perempuannya sehingga menyebabkan mereka bergaduh.

“Kemudian, selepas bertengkar dua beradik dan bapa mereka menikmati hidangan makan malam sebelum suspek (bapa) meminta anak lelakinya mencuci pinggan yang digunakan.

“Secara tiba-tiba, dua beradik berkenaan kembali bergaduh sehingga menyebabkan suspek, 50, berang dan bertindak mengeluarkan parang disyaki untuk menetak pemuda itu,” katanya hari ini.

Tambah Mohd. Zaidi, bimbang keselamatan abangnya, remaja perempuan cuba menghalang tindakan suspek tetapi, malangnya dua beradik terbabit terkena tetakan pada tangan kiri.

“Lantas kedua-dua mangsa segera keluar dari rumah meminta bantuan daripada ibu saudara mereka yang tinggal berdekatan manakala suspek pula melarikan diri. 

“Bagaimanapun, suspek berjaya ditangkap ketika mendapatkan rawatan kerana mengalami cedera ringan di Hospital Kota Belud pada hari yang sama,” jelasnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN