SEREMBAN – Wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. S.Streram yang gagal mendaftar sebagai calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yakin bakal dicalonkan semula oleh parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang kemungkinan diadakan kelak.
Menurutnya, keyakinan tersebut berdasarkan kepada kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli bahawa beliau adalah calon yang perlu diberi peluang selain layak bertanding kerusi berkenaan.
“Anwar telah sebut dalam Kongres (Nasional PKR Ke-13 di Shah Alam) semalam bahawa saya mesti diberi peluang bertanding kerana tidak putus asa selepas dinafikan peluang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu dan lawan kes itu di mahkamah.
“Manakala Rafizi sudah membuat kenyataan terbuka bahawa saya adalah calon terbaik kerana telah meletakkan asas yang kukuh untuk PKR bersaing di Rantau semasa PRU-14,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jumaat lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya di sini memutuskan kemenangan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan di DUN Rantau pada PRU-14 adalah tidak sah dan terbatal.
Pada 28 April 2018, Mohamad yang ketika itu Menteri Besar Negeri Sembilan diumumkan menang tanpa bertanding oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Rantau, Amino Agos Suyub berikutan Streram gagal menghantar borang penamaan calon.
Streram gagal menghantar borang penamaan calon selepas tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon di Dewan Seri Rembau kerana tidak mempunyai pas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). – K! ONLINE










