KUALA LUMPUR 23 Nov. – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) akan menghantar laporan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) minggu depan selepas selesai menjalankan semua kewajipan undang-undang termasuk dengan selesainya Mesyuarat Agung Tahunan (AGM).
Setiausaha Agung DPMM, Don Nazwim Don Najib memberitahu Utusan Malaysia bahawa AGM merupakan kuasa tertinggi dewan dan mempunyai autoriti penuh untuk membuat keputusan, maka tidak timbul persoalan pihak mana yang berhak kerana mesyuarat itu juga telah tamat.
“Kita ikut perundangan, kita penuhi semua kewajipan undang-undang. Seperti kebiasaan selepas selesai semua kita akan hantar laporan kepada ROS. Kita dah dapatkan tarikh dengan ROS pada Isnin atau Selasa minggu depan, sebetulnya semua proses akan selesai,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, dua kumpulan berbeza diketuai oleh Presiden, Rizal Faris Mohideen Abdul Kadir dan Naib Presiden, Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee masing-masing menyingkirkan satu sama lain sebagai ahli dewan itu.
Di sebelah pagi, Syed Hussien mempengerusikan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang menyaksikan majoriti perwakilan yang hadir menyokong usul undi tidak percaya terhadap Rizal Faris Mohideen, dan seterusnya mengumumkan perlucutan jawatan beliau, menurut laporan sebuah portal berita.
Sebelum ini, Syed Hussien bersama 17 ahli Majlis Eksekutif dewan itu mengemukakan saman pemula kepada Rizal Faris Mohideen kerana terlibat dalam urus niaga luar biasa membabitkan kehilangan lebih RM5 juta daripada tabung DPMM dan penjualan dua hartanah milik DPMM di Plaza Damansara bernilai RM11.6 juta.
Mahkamah mengarahkan isu dalaman DPMM diselesaikan melalui Mesyuarat Eksekutif Dewan (MED) dan mesyuarat itu telah diadakan kelmarin dengan turut dihadiri Syed Hussien, tetapi gagal mencapai sebarang resolusi dan mengikut jadual, sepatutnya DPMM meneruskan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM).
Bagaimanapun, Rizal Faris Mohideen kemudiannya mempengerusikan AGM di sebelah petang hari yang sama dan menolak segala bentuk resolusi dalam EGM tersebut kerana bertentangan dengan Undang-Undang Tubuh (UUT) DPPM, sekali gus menggugurkan jawatan semua ahli yang menghadiri mesyuarat itu.
Rizal Faris Mohideen dalam AGM berkata, resolusi-resolusi dalam EGM yang dianjurkan Syed Hussein adalah tidak sah dan bertentangan dengan UTT DPMM, malah merupakan suatu tindakan yang menjejas, menjatuhkan dan mencemarkan nama dewan, sekali gus semua yang menghadiri EGM itu digugurkan jawatan.
AGM itu kemudiannya mengisytiharkan sebarang EGM bertujuan menjatuhkan Presiden tidak akan diadakan sehingga tamat penggal ini pada 2020 dan memberi mandat penuh kepada Presiden untuk meneruskan agenda pembaharuan dewan dan menjalankan aktiviti-aktiviti berkaitan dengan ekonomi orang Melayu.











