Donald Trump ‘perbetul’ laporan CIA? - Utusan Malaysia

Donald Trump ‘perbetul’ laporan CIA?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON 23 Nov. – Kes pembunuhan Jamal Khashoggi terus menimbulkan kemelut dan persoalan apabila Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump secara tiba-tiba mendakwa Agensi Perisikan Pusat (CIA) tidak me­nyalahkan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman kerana mengarahkan pembunuhan wartawan Washington Post itu.

Trump semasa ditanya media tentang penilaian CIA berhubung kes itu berkata, agensi terbabit ‘tidak membuat kesimpulan’.

“Mereka mempunyai kepercayaan dalam cara tertentu, saya memiliki laporan itu dan mereka masih tidak merumuskannya lagi, saya tidak tahu jika ada antara pihak yang mampu merumuskan bahawa Putera Mahkota (Mohammed) yang melakukannya,” kata Trump yang dipetik BBC.

Presiden itu berulang kali menegaskan akan kepentingan Arab Saudi kepada Amerika ekoran pembunuhan tersebut.

Awal minggu ini, Trump mengeluarkan kenyataan bahawa mungkin Mohammed menge­tahui kes tragik itu, berkemungkinan beliau me­lakukannya dan mungkin tidak.

Pada 17 November lalu, Setiausaha Akhbar White House, Sarah Sanders berkata, Trump mempunyai keyakinan dengan CIA ekoran perbualan dengan Pengarah agensi itu, Gina Haspel dan Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo tentang pembunuhan Jamal.

Sumber yang dipetik media AS pada ketika itu menegaskan, tidak ada bukti mengaitkan Mohammed dengan pembunuhan itu, namun pegawai kerajaan percaya pembunuhan tersebut memerlukan persetujuan beliau.

Arab Saudi menafikan dakwaan itu dan menegaskan Mohammed tidak tahu-menahu langsung tentang pembunuhan tersebut.

Pegawai pendakwa raya Arab Saudi berkata, Jamal dibunuh akibat ‘operasi dilakukan pe­nyangak’.

Bagaimanapun akhbar Turki, Hurriyet semalam melaporkan bahawa Haspel memberitahu pegawai negara itu bahawa CIA memiliki rakaman yang me­nunjukkan Mohammed mengarahkan untuk ‘menyembunyikan’ wartawan terbabit secepat mungkin.

Semasa ditanya tentang dakwaan itu, Trump bagaimanapun enggan menjawab pertanyaan berkenaan sebaliknya meminta wartawan bertanya kepada akhbar Turki terbabit.

Dalam perkembangan lain, Putera Mahkota Arab Saudi itu dilapor berdepan kemungkinan ditahan atas jenayah perang atau pertuduhan membunuh semasa beliau melawat Argentina bagi sidang kemuncak G20 di Argentina, minggu depan.

Pengarah Pusar Kajian Asia Barat di Universiti Denver, Nader Hashemi berkata, beliau percaya Mohammed mahu memulihkan imejnya selepas liputan negatif media sejak hampir dua bulan lalu.

Katanya, Mohammed dipercayai mengarahkan pembunuhan Jamal selain perang di Yemen sekali gus menjadikan semua pihak akan tertumpu kepadanya.

Malah menurut undang-undang antarabangsa, lawatan Putera Mahkota Arab Saudi itu meletakkan beliau dalam bahaya perundangan di bawah dasar penghakiman universal di bawah undang-undang antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×