KEHEBATAN Novak Djokovic sebagai jaguh tenis menjadikannya orang paling digeruni dan cuba dielak oleh mana-mana pemain.
Dia bukan sahaja terkenal dengan servis kencang dan gerakan pantas, malah antara pemain yang gemar bermain ‘psikologi’ seperti membaling raket, bercakap dengan diri sendiri atau mengomel sepanjang permainan sehingga menjengkelkan lawan.
Begitupun itu cerita di atas gelanggang. Di luar, jaguh kelahiran Belgrade itu ibarat gula yang dikerumuni semut kerana sikapnya yang lucu dan cukup menyenangkan.
Djokovic mempunyai banyak tabiat pelik sehingga diberi pelbagai julukan oleh peminat serta rakan-rakan pemain. Antara gelaran yang melekat sehingga hari ini adalah Djoker, The Joker, The Serbinator, Nole dan Showman.
Setiap kali memenangi kejuaraan tenis tertua dunia, Wimbledon iaitu pada 2011, 2014, 2015 dan 2018, bapa kepada dua orang anak itu akan memakan rumput di All England Arena.
“Ia rasa seperti peluh, tetapi berbaloi memakannya,” kata Djokovic setiap kali ditanya tentang perkara itu.
Kaedah popular yang sering digunakan Djokovic untuk menghiburkan diri sendiri ketika berada dalam keadaan tegang adalah meniru gaya pemain tenis lain.
Antara pemain yang sering menjadi ‘bahan’ adalah Rafael Nadal, Serena Williams, Maria Sharapova, malah bekas jurulatihnya, Boris Becker.
Djokovic juga obses dengan tarian. Dia menyifatkan langkah tariannya adalah kunci kejayaan ketika mengalahkan Andrey Golubev dalam Terbuka Dubai 2015.
Ketika sidang akhbar, Djokovic tiba-tiba berhenti bercakap dan mengedar coklat kepada wartawan. Dia menganggap, tradisi tersebut banyak membantunya menjadi lebih tenang.
Djokovic juga tidak boleh dipisahkan dengan Pierre iaitu anjing poodle kesayangannya. Apabila Pierre tidak dibenarkan memasuki Wimbledon pada 2011, Djokovic sangat marah dan menganggap perkara itu sesuatu yang serius.
Biarpun memiliki gabungan sikap baran dan lucu, namun Djokovic, yang mengakui obses kepada pelakon terkenal Hollywood, Ryan Gosling adalah seorang lelaki yang setia serta bapa penyayang.
Jelena Ristic adalah cinta pertamanya. Mereka berkenalan ketika masih di sekolah menengah pada 2004, sebelum mengikat pertunangan pada September 2013.
Jelena sangat obses dengan Instagram sehingga memiliki hampir setengah juta pengikut, namun menggunakan populariti untuk membantu kerja-kerja amal yayasan suaminya.
Djokovic mahu membantu kanak-kanak Serbia.
Dia melantik isterinya sebagai Pengarah Yayasan Novak Djokovic yang menjalankan aktiviti kebajikan untuk membantu kanak-kanak.
Hasil perkongsian hidup selama lima tahun, pasangan ini dikurniakan sepasang anak lelaki dan perempuan yang diberi nama Stefan serta Tara.
NOVAK DJOKOVIC
Sukan: Tenis
Ranking dunia: No. 1
Tarikh lahir: 22 Mei 1987
Tempat lahir: Belgrade, Serbia
Pendapatan: AS$180 juta (RM753.30 juta)
Isteri: Jelena Dokovic
Anak: 2 Stefan (4 tahun), Tara (setahun)
Hobi: Menari
Penyanyi kegemaran: Bryan Adams
Pelakon kegemaran: Ryan Gosling, Hugh Jackman, Robert DeNiro
Makanan kegemaran: Pizza
Kelab kegemaran: Manchester United, AC Milan










