KUALA LUMPUR 15 Nov. – Pendakwaan terhadap isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; dan bekas pegawai khas kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor serta seorang ahli perniagaan akan didengar di tiga Mahkamah Sesyen di sini petang ini.
Hakim-hakim yang akan mendengar pendakwaan tersebut ialah Azman Ahmad, Azura Alwi dan Rozina Ayob.
Ahli perniagaan yang didakwa bersama ialah Datuk Tan Eng Boon yang merupakan pengerusi sebuah syarikat pemaju hartanah yang banyak mengendalikan projek mega di selatan tanah air selain di ibu negara.
Kesemua mereka dijangka menghadapi pertuduhan membabitkan meminta dan menerima rasuah.
Rosmah berhadapan dua pertuduhan berjumlah RM1.5 juta manakala Rizal menghadapi empat pertuduhan berjumlah RM5.5 juta berhubung kes penyelewengan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah-sekolah di Sarawak di antara tahun 2016 hingga 2017.
Tengku Adnan dan Eng Boon pula masing-masing berdepan dua pertuduhan berkaitan kes penjualan tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di antara tahun 2013 dan 2016.
Pertuduhan ke atas mereka dikemukakan Seksyen 16(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi. – UTUSAN ONLINE










