KUALA TERENGGANU 30 Nov. – Kepemimpinan Dewan Pemuda Pas pusat turut meluangkan masa menziarahi mangsa rusuhan di kuil, Muhammad Adib Mohd. Kassim yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Institut Jantung Negara (IJN), di ibunegara semalam.
Kunjungan itu diketuai ketua pergerakan itu, Muhammad Khalil Abdul Hadi yang turut diiringi timbalannya, Ir. Khairil Nizam Khirudin dan naib ketua, Ahmad Fadhil Shaari.
Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk dalam kenyataan ringkasnya berkata, kunjungan itu dibuat sebagai tanda sokongan moral kepada keluarga mangsa serta mendoakan Muhammad Adib cepat pulih.
“Kami Pemuda Pas datang untuk memberi sokongan moral kepada keluarga Muhammad Adib dan kami semua sentiasa berdoa agar beliau segera sembuh.
“Dalam kunjungan itu juga, saya sempat bertanya khabar bapa mangsa (Mohd. Kassim) dan beliau melahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih atas lawatan kami,” katanya di sini.
Beliau seterusnya berharap pihak berkuasa khususnya polis menjalankan siasatan rapi dan segera bertindak mengikut undang-undang terhadap mereka yang terbabit dalam rusuhan itu sehingga mencederakan Muhammad Adib. – UTUSAN ONLINE










