Dera Zara: Suspek tidak dituduh di Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-kanak - Utusan Malaysia

Dera Zara: Suspek tidak dituduh di Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 Nov. – Tertuduh yang didakwa membunuh bayi perempuan berusia 11 bulan, Nur Muazara Ulfa Mohammad Zainal atau Zara hanya akan didakwa mengikut undang-undang di bawah mahkamah sivil dan tidak akan dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-Kanak.

Walaupun mangsa merupakan kanak-kanak dan dipercayai didera secara fizikal dan seksual, namun Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin memberitahu, kes berkenaan disifatkan sebagai jenayah membunuh, maka tiada keperluan untuk membawa ke Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-Kanak.

“Kes kematian ini nama pun kes kematian bukannya jenayah seksual kanak-kanak. Kita mungkin akan hadapi masalah jika membawa kes ini di bawah Akta Jenayah Seksual Kanak-Kanak.

“Buat masa ini saya tak nampak boleh membawa kes ini ke Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-Kanak. Walaupun mangsanya seorang kanak-kanak tetapi lebih kepada jenayah pembunuhan yang sepatutnya didakwa di bawah mahkamah biasa,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) yang menanyakan soalan sama ada kerajaan akan mewujudkan tuduhan tambahan di bawah Akta Jenayah Seksual Kanak-Kanak terhadap tertuduh kes Zara supaya kes itu boleh dibawa dan dituduh di Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-Kanak.

Tukang gunting rambut, Hazmi Majid, 36, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori kerana didakwa membunuh Zara di sebuah rumah di Apartmen Sri Cempaka, Jalan 6/3, Seksyen 16, Bandar Baru Bangi, dekat sini antara pukul 10.30 pagi dan 1.30 petang, 7 November lalu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×