Dera Zara: Reman suami, isteri disambung lagi - Utusan Malaysia

Dera Zara: Reman suami, isteri disambung lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 19 Nov. – Tempoh reman suami kepada seorang pengasuh disambung tujuh hari lagi mulai esok bagi membantu siasatan kes penderaan melibatkan seorang bayi 11 bulan, Nur Muazara Ulfa Mohammad Zainal yang maut pada 9 November lalu.

Perintah reman sehingga 26 November ini  dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Majistret, Sharifah Fazilah Zulkifli di Mahkamah Majistret Kajang dekat sini terhadap suspek lelaki berusia 36 tahun itu selepas tempoh reman terhadapnya tamat hari ini.

Terdahulu, suspek lelaki yang bekerja sebagai tukang gunting rambut itu tiba di pekarangan kompleks mahkamah kira-kira pukul 9 pagi.

Sementara itu, perintah reman bagi tempoh yang sama turut dikenakan kepada isteri suspek lelaki yang berusia 28 tahun tersebut bermula hari ini sehingga Ahad ini.

Pasangan suami isteri itu direman bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Media sebelum ini melaporkan, pasangan suami isteri tersebut ditahan selepas Nur Muazara Ulfa atau mesra dipanggil Zara, meninggal dunia dua minggu lalu selepas dua hari dilaporkan tenat dipercayai didera secara fizikal dan seksual oleh suami pengasuh.

Hasil bedah siasat oleh pihak Hospital Serdang mendapati punca kematian mangsa adalah impak tumpul pada kepala yang mana tempurung kepalanya pecah dan terdapat kesan lebam pada bahagian atas kepala kiri dan kanan.

Selain itu, terdapat kesan koyakan baharu pada selaput dara selain dubur mangsa dipercayai akibat penderaan seksual. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN