KUALA LUMPUR 22 Nov. – Kerajaan kini dalam kerangka melaksanakan kajian Dasar Agromakanan Negara 2.0 bagi tempoh 2021 hingga 2030 bagi memacu pemodenan sektor tersebut.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, dasar baharu itu akan menyusun semula strategi untuk mempercepat proses pemodenan selain mengurus permintaan dan penawaran makanan.
Selain itu, katanya, Dasar Agromakanan Negara 2.0 juga akan menyelaras semula pelaburan kerajaan dan swasta untuk pembangunan infrastruktur, pembinaan modal insan pertanian, penyelidikan, pembangunan, komersial dan inovasi.
“Dasar Agromakanan 2.0 itu penting bagi menjadikan sektor makanan negara lebih berdaya saing seiring ledakan Revolusi Industri 4.0.
“Dasar ini akan menekankan pembangunan infrastruktur dan penggunaan teknologi moden, penyediaan modal insan serta pengkomersialan pertanian termasuk inovasi dalam sektor itu.
“Ia selaras dengan tumpuan kerajaan bagi menjadikan sektor makanan kekal relevan dan lebih berdaya saing,” katanya dalam majlis Perasmian Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2018 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini hari ini.
MAHA 2018 diadakan selama 11 hari bermula hari ini sehingga 2 Disember dengan bertemakan ‘Makanan Kita Masa Depan Kita’.
Yang turut hadir, isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub
Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, sektor pertanian akan terus kekal penting dan relevan dalam usaha menjamin food security atau keselamatan makanan yang ditafsirkan sebagai bekalan makanan yang mencukupi untuk setiap masa.
Menurutnya, sebagai sebuah negara yang mempunyai tradisi pertanian meluas, Malaysia perlu menghasilkan sumber sendiri untuk memenuhi aspek berkenaan.










