KUALA LUMPUR – Mendaftarkan cap dagangan bagi jenama POYA sejak 10 tahun lalu menjadikan butik yang menawarkan pakaian tradisional itu semakin dikenali terutamanya dalam kalangan golongan elit.
Pemilik butik berkenaan, Adilah Ahmad Khairudin berkata, POYA diambil sempena nama pengasas butik berkenaan yang juga ibunya, Sharifah Naemah Khalidza atau mesra dipanggil sebagai Pahya dalam kalangan keluarganya.
Beliau berkata, pihaknya mendaftarkan nama POYA itu dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bagi memastikan perniagaan yang diusahakan sejak 18 tahun lalu dapat berkembang dengan lebih maju.
“Mendaftarkan cap dagangan sangat penting dalam sesuatu perniagaan untuk memastikan pengguna mengenali sesuatu jenama selain memberikan nilai eksklusif ke atas barangan yang dikeluarkan.
“Amat merugikan jika perniagaan yang diusahakan setelah sekian lama terganggu ekoran ada pihak lain yang turut sama menggunakan nama berkenaan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini.
Cap dagangan boleh didaftarkan sebagai perkataan, logo, gambar, nama, huruf, nombor atau kombinasi tersebut bagi membezakan barangan atau perkhidmatan yang dikeluarkan oleh pihak lain.
Adilah memberitahu, butik POYA menawarkan pilihan busana tradisional seperti baju kurung, baju kurung moden, baju kurung cekak musang, baju kurung kedah dan baju kebaya bagi wanita dan kanak-kanak perempuan selain baju kemeja batik untuk lelaki dan kanak-kanak lelaki.
Sementara itu, bagi pengasas jenama Tudung SITIMURNI, Siti Murni Abdul Aziz berkata, beliau mendaftarkan jenama tersebut lima tahun lalu bagi memastikan perniagaannya yang telah dibina lebih lapan tahun lalu terpelihara dan stabil.
“Mendaftarkan jenama Tudung SITIMURNI ini telah menambah keyakinan pelanggan terhadap produk yang kami keluarkan kerana mereka yakin ia mempunyai nilai eksklusif tersendiri.
“Selain itu, ia juga menjadikan saya lebih berani untuk bergerak secara agresif tanpa risau ada pihak lain yang mungkin menciplaknya,” ujarnya.
Menurut Siti Murni, setiap usahawan akan dapat mengembangkan perniagaan masing-masing apabila mendaftarkan jenama mereka dengan MyIPO.










