LONDON 23 Nov. – Sergio Aguero berkata, pasukan lain di dalam Liga Perdana Inggeris tidak mampu menyaingi Manchester City sekiranya mereka beraksi pada tahap terbaik.
City yang juga juara bertahan kini berada di puncak liga dengen kelebihan dua mata dan mensasarkan untuk mempertahankan kejuaraan buat kali pertama dalam sejarah kelab.
Hanya Manchester United dan Chelsea berjaya menjuarai saingan liga dua kali berturut-turut dengan Aguero berkata, City sangat terdesak mengikut jejak langkah kedua-dua kelab itu.
Meskipun City berjaya mencipta rekod dengan menjadi juara menerusi perbezaan 19 mata musim lalu, namun, mereka berdepan cabaran hebat musim ini. Bagaimanapun, penyerang Argentina itu percaya skuad kendalian Pep Guardiola memiliki kemampuan untuk meneruskan kecemerlangan.
“Saya rasa saingan Liga Perdana Inggeris akan menjadi lebih sukar musim ini. Saya fikir Liverpool dan Chelsea adalah cabaran utama kami tetapi Arsenal juga bermain dengan baik sejak kebelakangan ini.
“Sukar untuk kami muncul juara sekali lagi tetapi kami adalah pasukan yang hebat. Kami pendahulu liga dan memiliki kemahuan untuk menjadi juara.
“Apa pun, semuanya bergantung kepada kami. Jika kami bermain dengan baik dan meraih tiga mata, apa yang dilakukan pasukan lain tidak menjadi masalah buat kami. Tetapi keadaan akan jadi sengit pada penghujung musim.
“Tidak ramai pasukan berjaya mempertahankan kejuaraan. Kami fokus kepada sasaran, jadi kami akan lakukan sesuatu yang bersejarah musim ini,” katanya.
City kekal dengan rekod tanpa kalah dalam saingan liga bersama Liverpool dan Chelsea, tetapi Aguero berkata, keadaan akan menjadi sukar untuk menewaskan Arsenal. – AGENSI











