BEIJING 23 Nov. – Perbincangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China seharusnya adil dan saling memberi manfaat di samping mencari jalan penyelesaian terhadap perbezaan pendapat antara kedua-dua negara melalui dialog, kata Naib Menteri Perdagangan China, Wang Shouwen.
Presiden Donald Trump dan rakan sejawatnya dari China, Xi Jinping dijangka mengadakan perbincangan pada sidang kemuncak G20 di Buenos Aires, Argentina pada minggu depan susulan hubungan perdagangan yang semakin meruncing.
Menurut Shouwen, berdasarkan rundingan, manfaat bersama dan kepercayaan yang sama rata akan membawa kepada usaha pengurusan perbezaan antara negara serta mencari jalan menyelesaikan masalah.
Tambahnya, pegawai kedua-dua buah negara sentiasa berhubung rapat seperti yang diarahkan oleh pemimpin tertinggi.
Washington mahu Beijing memperbaiki akses pasaran dan perlindungan harta intelek untuk firma AS, memotong subsidi industri dan mengurangkan jurang dagangan sebanyak AS$375 bilion (RM1.57 trilion).
Kadar tarif AS berjumlah AS$200 bilion (RM839 bilion) terhadap barangan dari China dijangka meningkat kepada 25 peratus berbanding 10 peratus pada Januari lalu.
Trump juga mengugut untuk mengenakan tarif terhadap baki barang import China yang berjumlah AS$267 bilion (RM1.12 trilion) sekiranya Beijing gagal memenuhi permintaan AS.
China berharap mesyuarat G20 dapat menggambarkan pendirian negara itu yang menentang dasar perlindungan kerana ia mengakibatkan pertumbuhan perdagangan global yang lebih perlahan serta penurunan pelaburan langsung asing.
Selasa lalu, diplomat tertinggi China memberitahu, sidang kemuncak negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) gagal mencapai kata sepakat berhubung dasar perlindungan.
“Perdagangan global ketika ini berdepan dengan situasi yang kompleks, berat sebelah dan terlalu melindungi telah meningkat dengan ketara sekali gus menambahkan lagi ketidaktentuan pembangunan ekonomi global,” kata Shouwen. – REUTERS











