Capai skor 32 peratus, restoran diarah tutup dua minggu - Utusan Malaysia

Capai skor 32 peratus, restoran diarah tutup dua minggu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH 27 Nov. – Sebuah restoran menjual dim sum di Jalan Raja Uda di sini diarah menghentikan operasi mereka selama dua minggu kerana gagal menepati syarat kebersihan premis yang ditetapkan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), Jabatan Kesihatan negeri, hari ini.

Lebih malang, restoran yang menjadi tumpuan ramai itu turut mencatatkan jumlah skor yang agak rendah dalam sistem penggredan premis makanan iaitu sebanyak 32 peratus sahaja berbanding skor minima untuk diiktiraf sebagai restoran ‘bersih’ iaitu 71 peratus.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Wan Mansor Hamzah berkata, siasatan awal pihaknya mendapati, restoran tersebut telah mengabaikan kerja-kerja pembersihan dan keselamatan makanan di situ khususnya di bahagian dapur.

“Bahagian hadapan nampak elok tapi, apabila kita ke belakang (dapur), nampak terlalu padat, basah, air bertakung serta lebihan makanan yang dibiarkan di atas lantai dan ini boleh menarik perhatian lalat, lipas, tikus dan sebagainya.

“Siasatan lanjut kemudian mendapati, terdapat najis tikus di beberapa tempat manakala makanan yang dimasak di situ juga tidak disimpan dengan baik di dalam peti ais yang juga tidak diselenggara dengan baik,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Tambah beliau, ini kali pertama restoran terbabit dikenakan tindakan sedemikian selepas pernah diberikan nasihat secara lisan oleh pihaknya sebelum ini.

“Jadi, kita bagi tempoh dua minggu itu untuk pihak restoran menjalankan kerja-kerja pembersihan dan kita akan terus memantau perkembangan restoran tersebut selepas ini,” ujar beliau.

Selain operasi berkaitan kebersihan makanan, jabatan Kesihatan negeri turut menjalankan operasi mengesan premis yang menjual rokok tiruan serta rokok yang dijual di bawah harga minima iaitu RM10 pada masa yang sama, hari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN