SHAH ALAM 16 Nov. – Seperti dijangka, kem Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menguasai kedudukan tertinggi sayap wanita parti itu apabila memenangi jawatan Ketua Wanita dan Timbalan Ketua Wanita dalam pemilihan parti.
Ketua Wanita Selangor, Haniza Talha menang sebagai Ketua Wanita PKR mengalahkan Fuziah Salleh, iaitu calon kem Rafizi Ramli yang dikatakan mendapat restu daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sementara itu, Daroyah Alwi yang juga daripada kem Mohamed Azmin menewaskan Rodziah Ismail.
Haniza merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya dan Daroyah merupakan ADUN Sementa, iaitu kedua-duanya dari Selangor selaku negeri kubu kuat Mohamed Azmin.
Keputusan itu diumumkan Setiausaha Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, Ismail Yusoff dalam Kongres Nasional Tahunan Wanita PKR di sini sebentar tadi, namun tidak menyatakan bilangan undi yang diterima oleh kesemua calon.
Pemilihan PKR berlangsung lebih enam minggu bermula 22 September hingga Ahad lalu di seluruh negara melibatkan lebih 500,000 ahli. – UTUSAN ONLINE










