PUTRAJAYA 15 Nov. – Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik yakin penubuhan Suruhanjaya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta Industri di bawah Parlimen akan meningkatkan sektor tenaga mahir di negara ini.
Menurutnya, antara keperluan suruhanjaya itu diletakkan di bawah Parlimen adalah untuk menunjukkan Kerajaan Pakatan Harapan lebih serius mahu membawa program TVET ke peringkat seterusnya.
“Cadangan berhubung suruhanjaya itu akan dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi.
“Pada mesyuarat Kabinet lepas kita telah memutuskan penyelarasan (suruhanjaya) akan diketuai oleh dua kementerian utama iaitu Kementerian Pendidikan dan Kementerian Sumber Manusia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Dialog Industri Kebangsaan 2018 mengenai Amalan Terbaik Membentuk Landskap Ekonomi TVET di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.
Baru-baru ini, Timbalan Pengerusi Gerakan TVET, Datuk Ahmad Tajudin Jab menyifatkan suruhanjaya tersebut tidak praktikal dan mustahil untuk dilaksanakan kerana adanya tujuh kementerian yang mempunyai kuasa penuh dalam pengurusan TVET masing-masing.
Cadangan mewujudkan suruhanjaya itu sebelum ini telah dibawa oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan TVET Malaysia, Nurul Izzah Anwar yang melihat suruhanjaya itu sebagai penggerak utama untuk menyelaraskan tujuh kementerian yang menguruskan TVET. – UTUSAN ONLINE










