Cabaran bagi Zulkifli mengemudikan Ketengah - Utusan Malaysia

Cabaran bagi Zulkifli mengemudikan Ketengah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 23 Nov. – Pelantikan Ketua Bahagian Bersatu Kuala Terengganu, Datuk Zulkifli Mohamad sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) mulai awal bulan ini dianggap turut memberi laluan ke arah membantu menapak pengaruh Pakatan Harapan (PH) di negeri ini.

ZULKIFLI MOHAMAD
ZULKIFLI

Sebagai wakil kerajaan Pusat dalam wilayah yang meliputi tiga daerah dengan keluasan dianggarkan separuh negeri ini, pelantikannya tentunya bukan sekadar untuk memberikan habuan jawatan tetapi menuntut tangungjawab besar untuk membela nasib rakyat kawasan pedalaman.

Rakyat yang makin resah dengan kos sara hidup dan pendekatan kerajaan baharu yang dilihat seakan tidak lagi akan memanjakan mereka dengan pelbagai bentuk bantuan dan kemudahan sebagaimana yang mungkin dianggap dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.

Dalam masa yang sama, dia tentunya disandar harap untuk berperanan menarik penerimaan dan keyakinan rakyat kepada Pakatan Harapan (PH)  setelah jelas mereka menolak kesemua calonnya di negeri ini yang dipertaruhkan  dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

Sebahagian besar daripada calon hilang wang pertaruhan sekali gus menggambarkan sukarnya untuk memecah persepsi negatif terhadap arah tuju PH yang menebal di salah satu negeri jantung Melayu ini  serta menerobos dominasi Pas dan UMNO.

Zulkifli, bekas pegawai tadbir negeri lulusan Universiti  Hull, United Kingdom dalam bidang pentadbiran perniagaan pernah bertugas sebagai Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) sebelum bersara.

Beliau yang berasal dari Tanjung Kapur di sini merupakan calon PH Harapan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Ladang namun ada yang melihatnya yang masih baharu menyalin kulit untuk berperwatakan sebagai salah satu teraju kepemimpinan politik.  

Selain Zulkifli, Pengerusi PKR negeri, Azan Ismail turut dinilai untuk jawatan yang menjadi perhatian utama itu – dengan latar pengalaman panjang dalam politik dan dilihat antara pemimpin PH negeri ini yang paling berwibawa dan menonjol namun nasib tidak menyebelahi.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Bandar dan bekas Ahli Parlimen Indera Mahkota itu satu-satu pemimpin parti-parti gabungan PH yang belum diberikan sebarang kedudukan untuk bernafas, seakan tambah mengiyakan pula bahawa PKR parti yang paling rugi dalam percaturan politik masa kini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN