'Bukan mudah Ahli Parlimen PH nak makan umpan UMNO' - Tun M - Utusan Malaysia

‘Bukan mudah Ahli Parlimen PH nak makan umpan UMNO’ – Tun M

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG – Mempertahankan kenyataan sebelum ini bahawa wujud usaha memancing Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) oleh UMNO pada 9 Mei lepas, Tun Dr Mahathir Mohamad  berkata usaha itu menemui kegagalan kerana wakil rakyat PKR dan Bersatu tidak termakan umpan.

Perdana Menteri berkata kemenangan PH sepatutnya diumumkan pada 8.30 malam namun tidak dapat dilakukan kerana wujud usaha oleh UMNO yang bekerjasama dengan Pas untuk menarik beberapa wakil rakyat Melayu dari PH.

“UMNO bercadang bekerjasama dengan Pas dan akan menarik beberapa wakil Melayu daripada PKR dan PPBM (Bersatu) untuk menubuh kerajaan.

“Tetapi rancangan itu tidak berjaya kerana mereka tidak dapat mengumpan orang daripada PH atau pun dari PKR dan PPBM untuk bersama,” katanya mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa beliau tidak memberi sebarang arahan untuk ‘memancing’ Ahli Parlimen PH bagi menubuhkan kerajaan Melayu-Islam bersama Pas pada malam 9 Mei lalu.

Najib yang juga bekas Presiden UMNO itu bagaimanapun dilaporkan berkata beliau tidak tahu jika ada sebarang pembabitan pihak lain dalam usaha berkenaan.

Ditemui media selepas merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2018 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini, Mahathir berkata berikutan jumlah tidak mencukupi bagi membentuk kerajaan, Barisan Nasional (BN) terpaksa menerima kekalahan dan mengiktiraf kemenangan PH.

Mahathir dalam temubual bersama majalah Mekong Review sebelum ini mendedahkan terdapat cubaan “di sebalik tirai” beberapa jam sebelum keputusan rasmi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) diumumkan secara rasmi untuk menarik Ahli Parlimen Melayu-Islam dari PH bagi membentuk kerajaan. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN