ZAGREB 16 Nov. – Jurulati Sepanyol Luis Enrique berkata, bola sepak tidak berlaku adil kepada pasukannya selepas kekalahan 2-3 kepada Croatia, sekali gus berada dalam kedudukan bahaya untuk tidak mengesahkan peluang ke final Liga Negara-Negara.
Juara dunia 2010 itu terpaksa mengejar dua kali di babak kedua, dengan Dani Ceballos menafikan gol pembukaan Andrej Kramaric, sebelum kapten Sergio Ramos menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti selepas Tin Jedvaj meletakkan Croatia 2-1.
Pada ketika masing-masing hampir mengaut satu mata, bek kiri Jedvaj sekali lagi meledak gol dengan jaringan kali ini mengesahkan kemenangan naib juara Piala Dunia 2018 itu.
“Kami mencipta banyak peluang, ada di antaranya dilihat sukar untuk mentafsirkan gol. Tendangan kami terkena palang, dan bola sepak dilihat tidak berlaku adil kepada kami.
“Dalam gol pertama mereka, kami membuat kesilapan. Gol kedua hadir menerusi bola mati dan mereka bernasib baik di penghujung perlawanan.
“Di babak kedua, kami mempunyai banyak peluang, kami sepatutnya tidak berhak kalah namun inilah bola sepak dan kami perlu akur,” kata jurulatih Sepanyol Luis Enrique dalam sidang akhbar selepas tamat perlawanan.
Sepanyol dilihat berupaya mara ke final Liga Negara-Negara selepas membelasah Croatia 6-0 pada September lalu diikuti menumbangkan England.
Bagaimanapun kedudukan mereka untuk ke peringkat tersebut terjejas setelah tewas 2-3 di laman sendiri kepada England selain kalah hari ini di Zagreb.
Begitupun Sepanyol menghuni anak tangga teratas Kumpulan 4 dengan enam mata selepas empat perlawanan namun untuk mengesahkan tempat ke pusingan akhir, England perlu seri dengan Croatia dalam saingan terakhir peringkat kumpulan.- REUTERS










