ZAGREB 16 Nov. – Jurulatih Sepanyol, Luis Enrique berkata, bola sepak tidak berlaku adil kepada pasukannya selepas tumpas 2-3 kepada Croatia dalam aksi Liga Negara-Negara Eropah, hari ini.
Juara dunia 2010 itu ketinggalan 0-1 menerusi gol Andrej Kramaric pada minit ke-54 tetapi Dani Ceballos menyamakan kedudukan dua minit kemudian.
Tin Jedvaj kembali meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-69, namun Sergio Ramos mengikat kedudukan 2-2 pada minit ke-78.
Ketika perlawanan seakan bakal berakhir seri, Jedvaj meledak gol kemenangan Croatia tiga minit memasuki waktu kecederaan.
“Kami mencipta banyak peluang, malah ada yang terkena palang. Bola sepak tidak berlaku adil kepada kami.
“Kami melakukan kesilapan ketika lawan memperoleh gol pertama lawan. Gol kedua pula berpunca daripada bola mati (sepakan bebas), malah Croatia bernasib baik (raih gol ketiga) di hujung permainan.
“Kami tidak berhak kalah tetapi inilah bola sepak,” ujar Enrique.
Sepanyol yang menewaskan England 2-1 di London pada 8 September, selain membelasah Croatia 6-0, tiga hari kemudian bagaimanapun masih menerajui Kumpulan 4 dengan enam mata, dua mata di depan Three Lions. – REUTERS










