SHAH ALAM 24 Nov. – Barisan Nasional (BN) Shah Alam membuat laporan polis berhubung kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy mengenai isu masyarakat India di negara ini yang didakwanya didiskriminasi seperti tular dalam media sosial, baru-baru ini.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Dendera Billah Zamzuri berkata, pihaknya berbuat demikian berikutan kenyataan Waytha Moorthy itu jelas menafikan realiti yang berlaku di negara ini sejak mencapai kemerdekaan, 61 tahun lalu.
“Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad perlu mengkaji kedudukan Waytha Moorthy sebagai menteri yang menjaga hal ehwal perpaduan yang mengatakan tiada kebebasan beragama di negara ini. Kenyataan beliau jelas memburukkan kepimpinan Kerajaan Persekutuan di bawah BN.
“Saya bersama Pemuda MCA dan Pemuda MIC sungguh kecewa dengan kenyataan tersebut kerana ia jelas bercanggah berdasarkan perkara sebenar yang berlaku di Malaysia. Kita hidup dalam suasana harmoni dan setiap kaum dibantu mengikut keperluan mereka,” katanya selepas membuat laporan di Balai Polis Seksyen 6 di sini, kelmarin.
Yang hadir sama ialah Ketua Wanita UMNO Bahagian Kota Raja, Suhaila M. Zin; Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kota Raja, Sheikh Weshal Sheikh Ahmad dan Ketua Pemuda MCA Shah Alam, Teh Kwang Kiat.
Dendera Billah menambah, dakwaan Waytha Moorthy yang mengatakan ribuan rumah ibadat penganut Hindu dimusnahkan bukan sahaja tidak benar malahan boleh mengundang suasana tidak harmoni. – UTUSAN ONLINE










