BISIK-BISIK AWANG SELAMAT - 15 NOVEMBER 2018 - Utusan Malaysia

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT – 15 NOVEMBER 2018

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AWANG setuju bahawa cadangan pemansuhan hukuman mati mandatori memerlukan penelitian dari segenap aspek. Kerajaan tidak perlu terburu-buru. Adalah tidak adil pemansuhan sesuatu akta dibuat hanya kerana desakan pihak tertentu atau janji pilihan raya umum. Kepentingan semua pihak perlu diambil kira.

Perasaan keluarga mangsa yang mati dengan kejam memerlukan pembelaan sewajarnya. Pertimbangan berhubung hukuman ini juga tidak seharusnya dibuat berdasarkan kes tertentu sahaja. Pelaku jenayah berat seperti bunuh, pengedaran dadah serta khianat yang merosakkan ketenteraman awam perlu menerima hukuman lebih berat.

Selama ini, ada kes hukuman mati mandatori tidak dilaksanakan sebaliknya diringankan kepada penjara seumur hidup. Benar, hukuman mati tidak menginsafkan pesalah tetapi sekurang-kurangnya mereka sedar mengenai risikonya.

Mengambil contoh kes dadah, wajarkah untuk menyelamatkan seorang pengedar sedangkan ramai yang menderita? Ada penagih yang mati. Angkara dadah, penagih juga sanggup membunuh ibu bapa.Jangan sampai penjenayah mempunyai pertimbangan lain ketika melakukan jenayah disebabkan ketiadaan hukuman mati.

Awang percaya masih ada ruang untuk perbincangan isu ini. Hukuman bukan untuk menzalimi tetapi untuk pengajaran. Mungkin juga dipertimbangkan cadangan supaya pendekatan undang-undang Islam diambil sebagai alternatif terhadap banduan yang dikenakan hukuman mati. Maknanya, keluarga mangsa boleh memberi pandangan mengenai hukuman yang bersesuaian.

AWANG – Berserah kepada takdir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN