KUALA LUMPUR – Bilangan pelawat yang mengunjungi Muhammad Adib Mohd Kassim yang cedera dalam rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, Selasa lalu, perlu dipantau berikutan keadaannya yang mudah terdedah kepada jangkitan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, soal keselamatan anggota bomba itu adalah perkara yang tidak boleh dikompromi.
Beliau turut menyarankan supaya bilangan pelawat yang mengunjungi Muhammad Adib perlu dikurangkan bagi memastikan anggota bomba itu dirawat dengan sebaik mungkin.
“Kita tidak boleh ada terlalu ramai pelawat kerana semua ini pembawa kuman. Dia (Muhammad Adib) tidak boleh lawan (jangkitan) pada masa ini.
“Adib mesti dijaga dengan baik sebab dia dalam keadaan sangat terdedah. Saya pun biasa jadi doktor dulu, memang kena jaga.
“Sebab itu saya rasa penting kita jaga semua ini. Doakanlah, sekurang-kurangnya dengan doa kita, dia beransur pulih,” katanya pada sidang akhbar di Institut Jantung Negara (IJN) di sini hari ini.
Beliau meluangkan masa hampir setengah jam menziarahi anggota bomba berusia 24 tahun itu dan keluarganya.
Dalam kejadian Selasa lalu, Muhammad Adib, seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, dipukul kumpulan perusuh ketika tiba di kawasan kuil berkenaan bagi memadam kebakaran sebuah kenderaan yang dibakar perusuh. – Bernama










