MARANG 15 Nov. – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempertikaikan tindakan pihak tidak bertanggungjawab mengedar Bible secara terbuka tanpa menghormati sensitiviti kaum lain, khususnya umat Islam yang merupakan penduduk majoriti di negara ini.
Menurut beliau, sepatutnya pihak terlibat terutama pemimpin Kristian memilih untuk mengadakan dialog dengan wakil agama lain, bukannya dengan cara mengedar Bible secara terang-terangan kepada orang awam.
Beliau turut mempersoalkan ketelusan pihak berkenaan yang menghalang pendakwah terkenal, Dr. Zakir Naik mengadakan program ceramahnya sedangkan mereka sendiri bebas mengedarkan Bible di khalayak ramai.
“Sepatutnya pihak yang edar Bible ini menghormati sensitiviti rakyat Malaysia yang masih kuat berpegang kepada agama Islam, mereka merupakan majoriti terbesar umat Islam di negara ini.
“Islam dilindungi Perlembagaan dan bidang kuasa negeri-negeri dan sepatutnya diadakan dialog untuk cari kebenaran, bukannya edar Bible. Mengapa Zakir tak ditonjolkan dan dibendung, sepatutnya pihak paderi Kristian kena terbuka dengan Islam untuk berdialog,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata dalam sidang akhbar selepas merasmikan bangunan Madrasah Darul Iman di Kampung Titian Baru dekat sini, hari ini.
Keseluruhan projek tersebut menelan belanja RM6 juta.
Abdul Hadi selanjutnya mengakui dalam sistem demokrasi, rakyat diberi kebebasan, namun dengan syarat tidak melampaui batas ditetapkan termasuk tidak sesekali menyentuh sensitiviti Islam.
“Jangan sentuh sensitiviti orang Islam, macam kita juga tak sentuh sensitiviti orang bukan Islam,” katanya.











