BHB catat untung selepas zakat RM807.3 juta - Utusan Malaysia

BHB catat untung selepas zakat RM807.3 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Nov. – BIMB Holdings Bhd. (BHB) merekodkan keuntungan sebelum cukai selepas zakat (PBZT) sebanyak RM807.3 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2018, meningkat 10.2 peratus daripada RM732.3 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

BANK Islam merekodkan keuntungan sebelum cukai selepas zakat sebanyak RM625.7 juta. – GAMBAR HIASAN

Pendapatan sesaham adalah 30.84 sen, berbanding 28.81 sen pada sembilan bulan sama tahun sebelumnya.

Aset bersih sesaham juga meningkat kepada RM3.03 pada akhir September 2018 daripada RM2.77 pada akhir Disember 2017, sementara Pulangan Ekuiti (ROE) tahunan adalah 15.1 peratus.

Menurut BHB, PBZT bagi Bank Islam meningkat 5.8 peratus atau RM34.4 juta kepada RM625.7 juta daripada tempoh sama tahun lepas.

“Pertumbuhan itu disokong oleh pendapatan yang dijana oleh kenaikan kadar asas dan kadar pembiayaan asas 25 mata asas berkuat kuasa Februari lalu, serta pertumbuhan pembiayaan yang lebih kukuh.

“Pembiayaan bersih tahun ke tahun meningkat 10.4 peratus atau RM4.2 bilion untuk mencecah RM44.3 bilion setakat 30 September 2018,” jelas BHB dalam kenyataan di sini hari ini.

BHB memberitahu, dalam tempoh itu juga, deposit pelanggan dan akaun pelaburan (IA) bagi Bank Islam berjumlah RM50.3 bilion, kenaikan tahun ke tahun sebanyak RM4.2 bilion atau 9.1 peratus.

“Akaun Semasa dan Simpanan (CASA) dan nisbah Transaksi IA adalah 32.3 peratus atau RM16.2 bilion. Kedudukan modal bank juga kekal sihat untuk menyokong pertumbuhan perniagaan yang berterusan dengan nisbah jumlah modal pada 16.4 peratus akhir September 2018,” katanya.

Dalam pada itu, BHB berkata, Takaful Malaysia merekodkan PBZT sebanyak RM234.2 juta dalam tempoh berkenaan, meningkat 18.5 peratus berbanding sembilan bulan pertama 2017.

Jelasnya, keuntungan yang lebih tinggi itu disebabkan oleh pendapatan yuran wakalah bersih lebih tinggi yang timbul daripada pertumbuhan perniagaan dalam perniagaan Takaful Keluarga dan Takaful Am.

“Hasil operasi naik 19.5 peratus kepada RM1.94 bilion daripada RM1.62 bilion dalam tempoh sama 2017, didorong sebahagian besarnya oleh jualan yang lebih tinggi oleh dua perniagaan takaful terbabit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN