IPOH 22 Nov. – Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan penglibatannya dalam pembikinan filem arahan pengarah terkenal, Sabri Yunus berjudul Buntat di Taiping baru-baru ini tidak mengganggu tugas sehariannya.
Menurutnya, beliau tidak mengambil cuti hanya disebabkan penglibatannya dalam pembikinan filem tersebut apatah penggambaran babak melibatkan beliau dalam filem itu dilakukan tidak sampai sejam.
Menjelaskan lebih lanjut, Ahmad Faizal berkata, beliau bersetuju membuat penampilan khas dalam filem tersebut kerana memenuhi undangan rakannya yang terlibat dalam penerbitan filem tersebut dan mahu mempromosikan negeri ini.
“Saya sekadar membuat penampilan khas, bukan pelakon sepenuhnya, jadi ia tidak mengganggu tugas saya walaupun penggambaran pada Ahad lalu ketika saya sibuk dengan pelbagai program.
“Penggambaran melibatkan babak saya tak sampai sejam pun. Apabila filem itu ditayangkan nanti, babak saya dalam filem itu nanti tak sampai lima saat pun, saya percaya orang pun tak perasan itu saya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Ke-15 Kesatuan Pekerja-Pekerja Lembaga Air Perak (LAP), di sini hari ini.
Menurutnya, penampilannya dalam filem tersebut menjadi viral setelah pegawai kanan beliau memuat naik gambar beliau di lokasi penggambaran di Facebook.
“Saya menerima banyak komen negatif kerana berlakon filem namun niat saya untuk mempromosikan Perak sebagai lokasi penggambaran yang baik,” katanya.
Ahmad Faizal turut mengumumkan telah mengadakan perbincangan dengan penerbit filem dari Bollywood di Kuala Lumpur baru-baru ini dan syarikat tersebut bersetuju untuk membuat penggambaran di negeri ini.
“Mereka akan datang dalam masa terdekat untuk buat penggambaran muzik video terlebih dahulu sebelum kemungkinan besar buat penggambaran filem sepenuhnya di negeri ini.
“Kalau mereka hendak saya membuat penampilan khas, saya tak keberatan asalkan saya dapat mempromosikan negeri ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE










