JASIN 27 Nov. – Pelbagai pihak melahirkan rasa kesal dengan insiden penemuan ketulan daging dipercayai babi yang dicampakkan di dua buah surau di daerah ini serta meminta orang ramai memberi ruang kepada pihak polis menyiasat kejadian itu.

Mufti Kerajaan negeri, Datuk Abd. Halim Tawil berkata, pihak berkuasa perlu diberi masa untuk menyiasat kes itu dan pada masa yang sama semua rumah ibadat perlu dipantau bagi mengelak kejadian tersebut daripada berulang.
Menurutnya, berdasarkan cara daging itu diletakkan, beliau percaya pelakunya adalah individu yang sama namun rakyat perlu menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kes tersebut.
“Serahkan kepada polis untuk menyiasat, biarkan mereka menjalankan siasatan secara profesional dan mengikut lunas undang-undang. Sebagai umat Islam, saya seru masyarakat tidak bertindak melakukan provokasi sebaliknya serahkan isu itu disiasat pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Jemaah di dua buah surau di daerah ini iaitu Surau Bukit Serkam dan Surau An Nur di Ladang Serkam dikejutkan dengan penemuan ketulan daging dipercayai babi di pekarangan masjid pagi ini.

Sementara itu, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jasin mengecam perbuatan tidak bertanggungjawab itu dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan yang tegas kepada individu atau kumpulan yang melakukannya.
Ketuanya, Dr. Akmal Saleh berkata, perbuatan itu merupakan satu bentuk penghinaan kepada institusi Islam apabila tempat ibadat sengaja dicemari oleh daging babi.
Pesuruhjaya Pas negeri, Kamarudin Sidek pula meminta orang ramai tidak menuduh mana-mana pihak dan membiarkan polis menjalankan siasatan.
“Kita faham, dari segi kebimbangan memang ada asas kerana penduduk Serkam terdiri daripada 85 peratus masyarakat Melayu dan selebihnya Cina dan India. Untuk itu pihak berkuasa perlu tangani kes ini agar tidak menjadi isu perkauman,” katanya.
Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Jasin, Zulkhairi Aziz pula berkata, pihaknya mengecam sekeras-kerasnya tindakan berunsur provokatif oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Beliau turut meminta penduduk kawasan sekitar agar bertenang serta tidak mengambil tindakan yang melanggar undang-undang, sebaliknya menyerahkannya kepada polis untuk menjalankan siasatan. – UTUSAN ONLINE










