KANGAR 16 Nov. – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru rakyat khususnya di Kuala Perlis agar menjauhi sebarang aktiviti melibatkan penyalahgunaan dadah.
Titah baginda, semua pihak juga perlu sentiasa memberi peringatan dan saling mengambil berat supaya anak bangsa tidak menderita akibat bahana dadah.
Baginda bertitah, usaha yang telah dan sedang dilakukan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) tidak akan berhasil sekiranya tanpa sokongan dan usaha daripada keluarga sendiri.
“Percayalah, asas kepada pembentukan sebuah negara yang bahagia bermula daripada sebuah keluarga yang bahagia. Ibu bapa seharusnya mengambil sepenuhnya tanggungjawab mendidik anak-anak dan bukan hanya menyerahkan tugas tersebut kepada orang lain.
“Setiap tindak tanduk dan tingkah laku anak-anak adalah gambaran kepada cara pendidikan kita. Didiklah mereka dengan betul kerana ibu bapa sendiri akan ditanya tentang tanggungjawab yang seharusnya mereka mainkan dalam mendidik anak-anak,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat merasmikan program Kampungku Permai Lagi Mempersona di Masjid Ar-Rahmaniah Kuala Perlis di sini, baru-baru ini.
Keberangkatan tiba baginda ke program yang disekalikan dengan Program Dekati Asnaf Dan Kayuhan Komuniti Prihatin Tahun 2018 Peringkat Negeri Perlis itu disambut oleh Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah dan Pengarah AADK negeri, Azizah Ahmad.
Turut hadir, Menteri Besar , Datuk Seri Azlan Man.
Program tersebut adalah anjuran AADK dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Tambah baginda, yang juga merangkap Yang Dipertua MAIPs, ketagihan dadah jenis syabu seharusnya dipandang serius kerana kesannya boleh menyebabkan seseorang itu menjadi pesakit mental atau gila.
Baginda juga berharap agar AADK dapat menjayakan kempen perangi dadah dengan sebaik mungkin agar rakyat hidup sejahtera tanpa barangan terlarang itu.- UTUSAN ONLINE










